
Bercakap kepada FMT, peguam keluarga itu, Zainuddin Abu Bakar, berkata anak guamnya berang dengan tindakan itu seolah-olah menafikan keadilan terhadap mangsa, yang kini berusia 22 tahun.
“Dia baru berusia 10 tahun ketika kejadian itu. Dia hidup dalam kemurungan kerana pengalaman pahit itu, dan pengumuman terbaru ini membuatnya lebih sedih,” kata Zainuddin.
“Emosinya tidak stabil sekarang,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan sepatutnya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada anak guamnya.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Akhtar Tahir menganugerahkan RM3.1 juta sebagai ganti rugi kepada lelaki itu, pada Apr, selepas memutuskan bahawa kerajaan dan empat defendan lain – seorang pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis dan pengarahnya, seorang pakar Hospital Selayang serta pengarahnya – kerana kecuaian.
Semalam, media melaporkan bahawa kerajaan dan empat defendan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
Pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan ditetapkan, pada 27 Jul.
Menurut Bernama, lelaki itu memfailkan saman pada 19 Jul 2018 melalui ibunya dengan mendakwa proses berkhatan, pada 13 Dis 2010, tidak mengikut prosedur ditetapkan sehingga menyebabkan kepala kemaluannya terputus.
Ibunya mendakwa akibat insiden itu, anaknya mengalami kecacatan kekal dan menjadi seorang pendiam.
Keluarga itu dijangka mengadakan sidang media, pada Sabtu.