Kebenaran pinjam ubat: Mana pekeliling rasmi, persatuan soal KJ

Kebenaran pinjam ubat: Mana pekeliling rasmi, persatuan soal KJ

Persatuan Pengamal Premier Malaysia tidak pernah menerima sebarang pekeliling rasmi susulan kenyataan menteri kesihatan 13 Jun lalu yang membenarkan pinjaman bekalan ubatan jika tidak mencukupi.

Tidak ada prosedur dikeluarkan Kementerian Kesihatan Menteri Kesihatan susulan kenyataan kebenaran meminjam ubat-ubatan daripada fasiliti kesihatan swasta atau kerajaan, kata Presiden Persatuan Pengamal Premier Malaysia (MPCAM) Dr Raj Kumar Maharajah.
PETALING JAYA:
Dua kumpulan perubatan menggesa Kementerian Kesihatan mengeluarkan pekeliling atau surat rasmi berhubung kebenaran meminjam ubat-ubatan daripada fasiliti kesihatan swasta atau kerajaan bagi klinik yang berdepan masalah kekurangan bekalan.

Presiden Persatuan Pengamal Premier Malaysia (MPCAM) Dr Raj Kumar Maharajah, berkata pihaknya tidak pernah menerima sebarang pekeliling rasmi berhubung kenyataan dibuat Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, pada 13 Jun lalu.

Beliau berkata, ia hanya kenyataan melalui media yang tidak memberi apa-apa makna kerana surat rasmi berhubung perkara berkenaan tidak dikeluarkan kementerian itu, mahu pun jabatan kesihatan negeri.

“Selain pekeliling, Kementerian Kesihatan juga perlu menyatakan prosedur pinjaman, ini penting sebab kita hendak pinjam ubat-ubatan. Cara dan bagaimana untuk pinjam pun kita tak tahu. Apakah kita terus ke fasiliti kesihatan kerajaan dan kata mahu pinjam ubat?

“Berapa banyak kita boleh pinjam? Ubat jenis apa? Apa syarat-syaratnya? Semua ini seharusnya dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan, tetapi sehingga kita langsung tidak tahu apa-apa,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) Boi Saidi Abd Razak, berkata pihaknya buat masa ini tidak pasti mahu merujuk kepada siapa jika mahu meminjam bekalan ubat-ubatan.

“Hendak rujuk siapa pun kami tidak tahu. Untuk melaksanakannya, perlu ada pekeliling yang memaklumkan cara untuk mohon pinjaman ubat tersebut.

“Sejak kenyataan itu dibuat 13 Jun lalu, kami tidak terima apa-apa surat atau pekeliling. Ubat semakin kurang dan mendesak ketika ini,” katanya.

13 Jun lalu, Khairy dilaporkan, berkata fasiliti kesihatan swasta boleh memohon pinjaman bekalan ubat-ubatan dari fasiliti kesihatan swasta lain atau fasiliti kesihatan kerajaan terdekat.

Katanya, fasiliti kesihatan kerajaan boleh mempertimbang meminjam bekalan ubat-ubatan untuk kegunaan ketika kecemasan, krisis dan bencana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.