
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung, Rusli Affandi berkata langkah itu diyakini dapat mewujudkan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak, sama ada pengusaha hotel ataupun pekerja.
“Sekiranya tukar guna dolar AS dalam penetapan harga bilik hotel, wujudnya pendapatan yang stabil dalam kalangan pengusaha hotel.
“Kebajikan pekerja akan terjamin, malah pengusaha hotel akan dapat menjamin pemberian gaji mengikut kadar gaji ditetapkan kerajaan serta menggaji pekerjanya tepat pada waktu,” katanya kepada FMT.
Menurut Rusli, setakat ini kebanyakan hotel di negara lain seperti Singapura dan Indonesia telah menetapkan harga bilik berdasarkan USD.
“Pengusaha hotel pun menghadapi masalah dalam kawalan kos perniagaan, apatah lagi memastikan mempunyai aliran tunai yang mencukupi bagi menampung kos operasi seperti gaji pekerja.
“Kadang-kala, seminar kerajaan yang dilancarkan di hotel lagi membawa kesulitan kepada pengusaha hotel. Misalnya di hotel lima bintang, kerajaan hanya membayar separuh daripada kos perbelanjaan dari segi penyediaan makanan.
“Selebihnya perlu ditanggung oleh pengusaha sendiri,” tambahnya.
Bagaimanapun, penyelarasan harga mengikut USD hanya akan ditetapkan kepada pelancong asing, manakala untuk pelancong tempatan masih mengekalkan penetapan harga berdasarkan nilai ringgit Malaysia.
“Sungguhpun kami ingin membantu pekerja hotel, tetapi pada masa sama juga ingin memastikan langkah penyelarasan itu dapat memanfaatkan orang awam secara keseluruhan tanpa membebankan orang tempatan,” katanya.
Terdahulu, MAH dilaporkan meminta kerajaan menyelaraskan kadar bilik dalam mata wang USD bagi memastikan industri perhotelan di negara ini kekal berdaya saing.