Sarawak terus tingkat penguasaan bahasa Inggeris pelajar

Sarawak terus tingkat penguasaan bahasa Inggeris pelajar

Kerajaan negeri sedang berusaha memastikan pelajarnya mahir dalam bahasa itu bagi membolehkan mereka cemerlang dalam pelajaran dan mempunyai masa depan cerah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat sarawak, Dr Annuar Rapaee, berkata pihaknya akan meneruskan usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
SIBU:
Sarawak akan meneruskan keputusannya menggunakan bahasa Inggeris di samping bahasa Malaysia dalam pentadbirannya, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dr Annuar Rapaee.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebenarnya sedang berusaha untuk memastikan pelajarnya mahir dalam bahasa itu bagi membolehkan mereka cemerlang dalam pelajaran dan mempunyai masa depan cerah.

“Jika mereka tidak suka bahasa Inggeris biarlah mereka, tetapi bagi kami, kami akan meneruskan usaha kami untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Buku Aktiviti Pelajar dan Bantuan Pembelajaran kepada sembilan sekolah di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka.

Sumbangan bahan pembelajaran itu adalah sebahagian daripada inisiatif Annuar selaku ADUN Nangka dengan kerjasama yayasan pendidikan tempatan, Yayasan Farley untuk mendapatkan 1,000 buku bagi memenuhi keperluan murid sekolah rendah dari 22 rumah panjang di kawasannya.

“Ia akan menjadi bahan bacaan ringan yang sesuai untuk golongan itu tetapi tetap memberi tumpuan kepada STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) seperti buku mengenai galaksi, haiwan dan tumbuhan yang berharga tidak lebih RM20 setiap satu,” katanya.

Annuar menjelaskan kira-kira 100 buku akan diletakkan di setiap rumah panjang bagi tempoh tiga bulan dan akan digilirkan antara rumah panjang itu.

Menegaskan membaca adalah penting bagi seseorang untuk menimba ilmu, beliau berharap usaha menggunakan bahan bacaan ringan itu dapat membantu memupuk tabiat membaca dalam kalangan murid di rumah panjang tersebut.

“Dalam masa tiga hingga lima tahun lagi mereka boleh menjadi pelajar cemerlang. Tetapi persoalannya sekarang ialah bagaimana untuk memastikan mereka membaca buku yang telah disediakan untuk mereka?,” katanya.

Annuar berkata perlu ada cara untuk merekodkan data, berapa banyak buku yang pelajar telah baca bagi memastikan keberkesanan program membaca itu.

Selain program membaca, pusat khidmatnya telah menyambung kembali kelas tuisyen secara percuma untuk murid-murid di rumah panjang terlibat yang dihentikan berikutan pandemik Covid-19.

Kelas tuisyen empat kali seminggu di ruang komunal rumah panjang yang dipanggil “ruai” itu bermula 6.30 petang dan berakhir pada 9 malam dengan ketua rumah panjang memantau kehadiran murid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.