Video wanita didakwa hina Islam: Operasi kelab komedi digantung sementara

Video wanita didakwa hina Islam: Operasi kelab komedi digantung sementara

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias berkata tindakan itu sebagai mesej jelas bahawa pihaknya tidak bertoleransi dengan apa jua aktiviti melanggar sensitiviti melibatkan agama, bangsa dan kedaulatan negara.

Video berdurasi 54 saat menunjukkan seorang wanita bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk al-Quran lalu menanggalkan pakaian yang menutup aurat itu di sebuah kelab.
KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara operasi sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) susulan satu klip video tular dipercayai menghina agama Islam.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias berkata tindakan itu sebagai mesej jelas bahawa pihaknya dan DBKL tidak akan sama sekali bertoleransi dengan apa jua aktiviti yang melanggar mana-mana sensitiviti melibatkan agama, bangsa dan kedaulatan negara.

“Isu ini juga turut mendapat kecaman daripada penduduk berhampiran dan netizen di media sosial yang berpendapat bahawa, video tular tersebut jelas dan terang merupakan perbuatan yang bertujuan menghina serta mencemarkan imej agama Islam.

“Justeru, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur, DBKL tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu-isu sebegini.

“DBKL telah membuat siasatan lanjut terhadap lesen premis berkenaan dan tindakan menggantung sementara pengoperasian premis berkenaan telah dilakukan secara serta-merta,” katanya dalam kenyataan.

Jalaluddin berkata operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa, selain berharap orang awam melaporkan sebarang insiden bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang.

Video berdurasi 54 saat itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai komen dalam kalangan warganet apabila seorang wanita yang bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk Al-Quran sebelum menanggalkan pakaian yang menutup aurat itu dan hanya meninggalkan pakaian yang mencolok mata.

Semalam, kelab tersebut, ‘Crackhouse Comedy Club House’ dalam catatan Facebooknya mengecam sekeras-kerasnya kandungan video tular itu dan telah membuat laporan polis mengenai perkara itu di balai polis TTDI.

“Individu terbabit dan pasangannya telah dilarang berada di venue berkenaan sebaik sahaja selesai persembahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.