
Ia susulan pergolakan di negara tersebut akibat krisis kewangan yang menyebabkan ribuan penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasmi Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa dan sekretariatnya.
Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu memudahkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia untuk menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya, sekiranya diperlukan.
“KLN memantau rapat perkembangan di Sri Lanka berikutan pergolakan akibat krisis kewangan di negara tersebut.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo telah menghubungi semua rakyat Malaysia yang berdaftar di Sri Lanka bagi memastikan keselamatan mereka dan memberikan bantuan,” katanya.
Kenyataan itu turut menyebut, rakyat Malaysia yang ingin melawat Sri Lanka dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting buat masa ini.
“Rakyat Malaysia di Sri Lanka dinasihatkan supaya memberi perhatian sepenuhnya kepada keselamatan mereka dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi Suruhanjaya Tinggi melalui nombor telefon 94774830103; emel, [email protected] dan alamat 45, Rosmead Place, Colombo 07, Sri Lanka.