Lori rempuh 11 kenderaan dipercayai bawa lebih muatan

Lori rempuh 11 kenderaan dipercayai bawa lebih muatan

Polis yang menyiasat kejadian itu turut menyerbu syarikat lori terbabit untuk meneliti rekod penyelenggaraan kenderaan mereka.

Tangkap layar video memaparkan sebuah lori merempuh 11 kenderaan dalam kejadian di Tambak Johor menghala ke Singapura dua hari lalu.
PETALING JAYA:
Sebuah lori yang merempuh 11 kenderaan dalam kejadian di Tambak Johor menghala ke Singapura dua hari lalu, dipercayai membawa muatan melebihi had yang dibenarkan.

Menurut Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat, polis turut menyerbu syarikat lori terbabit bagi meneliti rekod penyelenggaraan kenderaan mereka.

Katanya, siasatan yang dilakukan turut meneliti pelbagai aspek lain, selain melihat rekod penyelenggaraan itu.

“Begitu juga dari segi kekuatan atau keupayaan lori tersebut, dan kita dapati memang berat (muatan lori itu) adalah lebih,” katanya menurut Bernama.

Beliau mengulas perkembangan kejadian itu ketika ditemui dalam Op Lancar di Jalan Tebrau, Johor Bahru, semalam.

Kamarul Zaman berkata, pemandu lori berusia 34 tahun yang mempunyai 33 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan trafik itu, telah direman selama tiga hari bermula semalam.

“Tempoh reman itu dijangka akan disambung sekiranya kertas siasatan masih belum lengkap,” katanya.

Pemandu terbabit ditahan pada 1.15 tengah hari pada hari sama dan siasatan polis mendapati kemalangan pada 9.25 pagi itu berpunca daripada masalah teknikal yang dialami lori membawa muatan habuk batu berkenaan.

Kemalangan itu turut melibatkan enam kenderaan asing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.