Jambatan sementara di Kampung Iboi dijangka siap esok

Jambatan sementara di Kampung Iboi dijangka siap esok

Jambatan sepanjang 27.43m dan lebar 5.48m itu mampu menampung beban hingga lima tan bagi satu hala.

Kontraktor yang dilantik JKR Kedah menyusun batu-batu menggunakan jentera berat bagi memperkukuhkan tebing sebelum memasang jambatan sementara di Kampung Iboi, Kupang. (Gambar Bernama)
BALING:
Jambatan sementara di Kampung Iboi, Kupang yang sedang dibina bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh akibat banjir dan fenomena kepala air Isnin lepas, dijangka siap dan boleh digunakan esok.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, jambatan keluli bermodular “Old Bailey Bridge” itu mula dipasang petang semalam bagi memudahkan urusan penduduk di beberapa kampung yang sering menggunakan laluan tersebut.

“Penduduk kampung meminta kita untuk menyiapkan jambatan sementara itu secepat mungkin, iaitu sebelum Aidiladha agar mereka boleh melakukan persiapan untuk menyambutnya.

“Jadi petang semalam, kita telah memulakan kerja-kerja memasang jambatan, melibatkan 20 kakitangan Bahagian Jalan dan Cawangan Kerja Mekanikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah dan dibantu 10 anggota tentera,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, jambatan sepanjang 27.43m dan lebar 5.48m itu mampu menampung beban hingga lima tan bagi satu hala.

Menurut Wan Ahmad Uzir, kesemua bahan dan jentera berat yang digunakan untuk membina jambatan itu adalah milik atau diperoleh daripada stor JKR, justeru pembinaannya tidak melibatkan sebarang kos.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Iboi Abu Hasan Samah, 62, berkata pembinaan jambatan sementara itu akan memudahkan urusan seharian kira-kira 3,000 penduduk dari beberapa kampung.

Katanya, selepas jambatan asal musnah dalam kejadian kepala air itu, penduduk Kampung Masjid Iboi, Kampung Bok Bak, Kampung Tanjung Luas dan Kampung Tanjung Nering perlu melalui jalan jauh untuk keluar ke bandar.

“Kami di Kampung Iboi juga menggunakan jambatan itu untuk ke masjid kerana masjid terletak di seberang sungai.

“Jadi kita berterima kasih kepada kerajaan dan harap pembinaan jambatan disiapkan secepat mungkin agar memudahkan penduduk,” katanya.

Seorang penduduk, Nor Atikah Ramli, 27, berkata mereka yang terpaksa melalui jalan lebih jauh mengambil masa hingga 20 minit untuk ke Pekan Kupang berbanding lima hingga 10 minit jika melalui jambatan.

“Sekarang ini kami terpaksa guna jalan jauh yang jarang digunakan, perlu lalu kawasan hutan dan amat gelap pada waktu malam.

“Kalau ada jambatan sementara ini, bukan sahaja lebih dekat tapi juga rasa lebih selamat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.