Dakwaan ugut lelaki, pegawai SPRM lapor polis

Dakwaan ugut lelaki, pegawai SPRM lapor polis

Menurut pegawai SPRM terbabit, dakwaan dibuat seorang lelaki itu tidak benar serta berniat menjatuhkan reputasi SPRM yang menjalankan siasatan terhadapnya.

SPRM menggesa pihak polis melakukan siasatan terperinci terhadap laporan berkenaan kerana dakwaan itu merupakan satu tuduhan yang serius.
PETALING JAYA:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mengesahkan pegawai SPRM yang didakwa melakukan ugutan terhadap seorang lelaki dalam bilik siasatan telah membuat laporan polis.

Beliau berkata dalam laporan pegawai SPRM itu, ia menjelaskan bahawa dakwaan lelaki terbabit tidak benar serta berniat menjatuhkan imej dan reputasi suruhanjaya yang menjalankan siasatan.

“SPRM menggesa pihak polis melakukan siasatan terperinci terhadap laporan berkenaan kerana dakwaan terhadap pegawai SPRM itu merupakan satu tuduhan yang serius,” katanya kepada FMT.

Tambah Azam, SPRM sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terhadap pegawainya dan dalam masa sama akan terus menjalankan siasatan berkaitan isu rasuah melibatkan pihak yang terbabit dalam isu itu.

Ketua Polis Putrajaya, Asmadi Abdul Aziz, sebelum ini mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada pengarah syarikat berkenaan, yang mendakwa dua pegawai SPRM memaksanya menulis surat pengisytiharan memindahkan wang RM1.7 juta kepada individu lain.

Terdahulu, seorang pemilik akaun media sosial berkongsi apa yang dikatakan sebagai laporan polis berhubung kes berkenaan, yang mana pengadu mendakwa dia dikelilingi tiga pegawai SPRM dan seorang orang awam sebelum dua daripada mereka memaksanya menandatangani satu surat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.