Firma guaman tak dilantik secara rasmi kendali urusan Akalbudi, mahkamah diberitahu

Firma guaman tak dilantik secara rasmi kendali urusan Akalbudi, mahkamah diberitahu

Bekas timbalan perdana menteri itu yang juga pengasas Yayasan Akalbudi berkata, pelantikan firma guaman itu kerana ia hanya soal kepercayaan dan persefahaman.

Ahmad Zahid Hamidi (tengah) berkata, beliau melantik Tetuan Lewis & Co untuk mengendalikan urusan Yayasan Akalbudi kerana tidak berpuas hati dengan tugas dilakukan bekas pembantunya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini diberitahu tiada pelantikan rasmi dibuat untuk sebuah firma guaman menjadi pemegang amanah Yayasan Akalbudi, yang menerima sumbangan berjuta ringgit menerusi Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, tiada surat dihantar kepada Tetuan Lewis & Co atas pelantikannya kerana ia “hanya soal kepercayaan dan persefahaman”.

“Saya kenal seorang peguam dari firma itu dan sebab itu saya melantik mereka menjadi pemegang amanah Yayasan Akalbudi,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong.

Mahkamah turut diberitahu semasa peringkat pendakwaan itu, B Muralidharan yang juga rakan kongsi firma guaman itu diamanahkan Zahid untuk mengendalikan 92 keping cek lebih RM76.9 juta antara Mei 2016 dan April 2018.

Presiden Umno itu berkata, beliau membuat keputusan untuk melantik firma guaman itu pada Mei 2016 kerana kecewa dengan prestasi bekas pembantunya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

“Salah satu sebab ialah dia (Mazlina) tidak mengikut arahan saya,” katanya.

Dalam pembelaannya, Zahid berkata, Mazlina menggunakan cek yayasan itu untuk membayar bil kad kreditnya tanpa arahan, pengetahuan atau persetujuannya.

Katanya, Mazlina turut menggunakan cop tandatangannya pada cek Yayasan Akalbudi untuk menjelaskan bil, selain cuai dalam mengendalikan pembayaran kad kreditnya dan tidak pernah menunjukkan penyata bank kepadanya.

Zahid yang juga pengasas Yayasan Akalbudi berkata, beliau gembira dengan prestasi firma guaman itu kerana mereka mempunyai orang berkelayakan mengendalikan hal ehwalnya.

Harris: Saya menyatakan kepada anda bahawa mereka (firma guaman) berkhidmat kepada anda mengikut kehendak anda.

Zahid: Tidak, mereka mengikut semua peraturan untuk menjaga akaun pelanggan. Tidak ada kecuaian di pihak mereka.

Zahid berdepan 27 pertuduhan pertuduhan pengubahan wang haram, 12 kes pecah amanah melibatkan RM31 juta daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah berjumlah RM17 juta untuk pelbagai projek ketika berkhidmat sebagai menteri dalam negeri.

Sebanyak 25 daripada 27 pertuduhan pengubahan wang haram itu dikaitkan kepada Zahid memberi arahan kepada Muralidharan untuk memasukkan wang terbabit ke dalam akaun simpanan tetap.

Hakim Collin Lawrence Sequerah turut membenarkan permohonan pembelaan untuk mengadakan lawatan tapak bagi melihat status dua bidang tanah di Kajang yang disumbangkan Yayasan Akalbudi kepada Al-Falah, sebuah lagi yayasan, untuk tujuan keagamaan.

“Demi keadilan, saya akur dengan permintaan pihak pembelaan, tetapi lawatan akan dilakukan pada tarikh lain,” katanya.

Pembelian hartanah bernilai RM5.9 juta itu adalah pertuduhan ke-26 yang dihadapi Zahid.

Perbicaraan bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.