Saya jumpa Syed Saddiq bincang projek Raya, kata saksi

Saya jumpa Syed Saddiq bincang projek Raya, kata saksi

Bekas pemimpin Bersatu berkata dia menemui Ahli Parlimen Muar beberapa bulan lalu untuk membincangkan projek 'baju Melayu'.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa atas empat pertuduhan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen tahun lalu.
KUALA LUMPUR:
Saksi utama perbicaraan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam kes pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa, dia bertemu Ahli Parlimen Muar itu sepanjang Ramadan untuk bincang projek Hari Raya.

Seseorang tertuduh biasanya dihalang daripada bertemu saksi pendakwaan dalam kes mahkamah jenayah untuk mengelakkan risiko pengubahan saksi.

“Saya masih berkawan dengannya (Syed Saddiq). Sepanjang bulan puasa, saya berjumpa dengannya untuk bincang ‘baju Melayu’ projek untuk Ramadan,” kata bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu Rafiq Hakim Razali.

“Dia (Syed Saddiq) bersetuju bekerjasama dengan kami untuk projek tersebut”.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin kemudian bertanya sama ada Syed Saddiq telah memaklumkan kepada saksi (Rafiq) bahawa terdapat perintah melarang Ahli Parlimen itu bertemu dengan bakal saksi seperti beliau.

“Saya tiada motif (tersembunyi) (untuk memberi keterangan) terhadapnya (Syed Saddiq). Apa yang saya katakan di mahkamah adalah kebenaran,” katanya lagi.

Syed Saddiq didakwa atas empat pertuduhan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen tahun lalu.

Bekas ketua Pemuda Bersatu itu didakwa menyeleweng sejumlah RM1.12 juta milik parti.

Daripada jumlah itu, RM120,000 dikatakan dana parti untuk pilihan raya umum 2018, manakala RM1 juta didakwa dikeluarkan oleh beliau tanpa persetujuan pucuk pimpinan.

Syed Saddiq turut mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pengubahan wang haram masing-masing berjumlah RM50,000.

Awal hari ini, Rafiq memberitahu mahkamah bahawa Syed Saddiq memintanya melupuskan sebahagian daripada RM1 juta dana Bersatu pada Mac 2020.

Beliau kemudian menyerahkan RM250,000 kepada seorang tukang jahit dan ahli Bersatu, Naqib Rahim, dan RM650,000 diberikan kepada Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan Daniel Kusari.

Baki RM100,000 digunakan untuk program belia Bersatu, tambah Rafiq.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai pelupusan dana itu, Rafiq berkata, sebab Syed Saddiq memintanya berbuat demikian adalah kerana Ahli Parlimen Muar “takut” kononnya wang itu akan dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.