
Menurut Ismail, operasi itu akan turut disertai polis dan tentera.
Katanya, tindakan tegas termasuk membatalkan kuota dan lesen yang telah diberikan kepada pengilang dan pembungkus akan diambil dalam usaha menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi.
“Operasi ini bertujuan mendapatkan status sebenar mengenai jumlah minyak masak peket dikeluarkan syarikat berkenaan serta maklumat lengkap penerima minyak masak bersubsidi itu bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan.
“Langkah ini demi memastikan peruntukan subsidi minyak masak sebanyak RM4 bilion disalurkan tahun ini untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL).
Ismail berkata, perangkaan semasa menunjukkan edaran minyak masak peket bersubsidi berjumlah 60,000 metrik tan sebulan adalah melebihi daripada penggunaan isi rumah dalam negara.
Mesyuarat itu dihadiri beberapa menteri Kabinet serta wakil Jabatan Perangkaan (DOSM), Institut Penyelidikan Ekonomi (MIER),Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).
Sebanyak lima kertas dibentangkan dalam mesyuarat itu oleh tiga kementerian membabitkan KPDNHEP, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta DOSM.
Mesyuarat juga bersetuju sekuriti makanan dijadikan keutamaan dalam konteks keselamatan dalam negeri yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup.
Sementara itu, Ismail berkata kerajaan akan memperhebat Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) sepanjang masa dengan jualan barangan keperluan asas pada harga lebih murah.
PJKM akan melibatkan kerjasama strategik bersama Ahli Parlimen, ADUN dan pihak berkuasa tempatan serta diperluas ke institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Program itu akan diterajui KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan.
Ismail berkata, kerajaan akan turut memperkenalkan “Menu Keluarga Malaysia” di restoran koperasi dan kafeteria serta premis jualan makanan di institusi pengajian tinggi sebagai alternatif bagi mendapatkan hidangan pagi, tengah hari dan malam pada harga berpatutan.
“Kerajaan sentiasa mendengar keluhan Keluarga Malaysia dan berusaha untuk memastikan cabaran kos sara hidup dapat dihadapi dengan sebaik mungkin,” katanya.