
Kenyataan sulung itu dikeluarkan susulan pengumuman Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) setelah melakukan audit forensik menyaksikan jawatan ketua Wanita pusat yang sebelum ini dimenangi ADUN Batu Tiga Rodziah Ismail, berubah kepada Fadhlina.
Fadhlina turut merakamkan penghargaan buat Rodziah yang selama ini banyak mengajarnya mempertahankan sayap Wanita parti itu.
“Dalam membentuk derap langkah seterusnya, saya komited dalam memastikan mantra rangkulan reformasi dan Wanita nadi keadilan ini dijayakan. Menang mungkin baru hari ini, tapi kerja sudah mula jauh lebih lama,” katanya kepada FMT.
Beliau yang juga senator Dewan Negara turut menzahirkan penghargaan sokongan akar umbi terhadapnya dalam mengangkat agenda rakyat merentasi sempadan umur, kaum, dan agama.
“Pesta demokrasi parti ini tidak akan meriah tanpa pertembungan idea dan tawaran polisi. Justeru, saya juga berbesar hati dapat berpencak dengan nama besar yang banyak menyumbang kepada sayap, parti dan negara,” katanya.
Pemilihan kali ini menyaksikan Fadhlina sah menjadi ketua wanita PKR selepas mengatasi pencabarnya Rodziah dengan memperoleh 18,923 undi.