Dedah perjanjian pindah lapangan terbang Kota Kinabalu, gesa Ahli Parlimen DAP

Dedah perjanjian pindah lapangan terbang Kota Kinabalu, gesa Ahli Parlimen DAP

Kerajaan Sabah melalui syarikat pelaburan strategiknya QSB baru-baru ini, menandatangani perjanjian dengan Berjaya Land mengkaji kemungkinan pemindahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Syarikat pelaburan strategik kerajaan Sabah mengumumkan satu kajian akan dilakukan untuk memindahkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Kimanis sejauh 60km.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen mempersoalkan syarikat pelaburan strategik kerajaan sabah berhubung perjanjian dengan pemaju hartanah Berjaya Land Bhd mengenai kajian kemungkinan memindahkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke tapak baharu sejauh 60km.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin dari DAP, berkata terdapat banyak persoalan yang belum terjawab berhubung perjanjian itu, sama ada Kementerian Pengangkutan mengetahui kemungkinan pemindahan itu dan siapa pula akan membiayai kajian itu.

Beliau juga mempersoalkan sama ada pengurusan KKIA masih dikendalikan oleh Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) atau Berjaya secara tidak adil untuk menjadi pengendali lapangan terbang.

Chan menggesa kerajaan negeri mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai kajian kebolehlaksanaan. Beliau berkata, pemindahan lapangan terbang itu bukan keutamaan kerana ia dijangka mencapai kapasiti maksimum hanya pada 2037.

“Walaupun saya berkongsi kebimbangan bahawa KKIA berkemungkinan tidak dapat berkembang di lokasinya sekarang kerana keluasan tanah terhad, saya percaya penutupan dan pemindahan sepatutnya berada di bahagian bawah senarai keutamaan kerajaan,” katanya.

Chan berkata, bukan satu rahsia lagi bahawa Qhazanah Sabah Bhd (QSB), baru-baru ini, telah menganugerahkan beberapa kontrak projek kepada Berjaya Land dan mempersoalkan bagaimana syarikat itu boleh terlibat dalam begitu banyak perjanjian dengan QSB.

“Mengapa QSB memilih untuk bekerjasama dengan Berjaya (Land) dan bukan yang lain?” katanya dalam kenyataan.

“Adakah tiada pakar lain untuk membuat kajian kebolehlaksanaan?”

Pada masa sama, Chan juga mempersoalkan sama ada ia dibuat secara tender terbuka, sambil mendakwa, “kajian kebolehlaksanaan ini seperti diberikan menerusi tender tertutup atau secara langsung”.

QSB pada 30 Jun mengumumkan menandatangani persefahaman dengan Berjaya Land untuk meneroka kemungkinan memindahkan lapangan terbang ke Kimanis.

Perjanjian itu meliputi pembinaan dan pembangunan lapangan terbang antarabangsa baharu di Kimanis serta pelan pembangunan mampan yang akan dilaksanakan atau di mana-mana tanah lain yang difikirkan sesuai kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.