Selangor ganti hutan simpan dinyah warta dengan kawasan lebih luas, kata MB

Selangor ganti hutan simpan dinyah warta dengan kawasan lebih luas, kata MB

Selain hutan simpan kekal, Amirudin Shari berkata, kerajaan Selangor di bawah pimpinan PH juga tidak pernah mengurangkan tanah rizab Melayu.

Amirudin Shari berkata, kawasan hutan simpan kekal dan tanah rizab Melayu di Selangor semakin bertambah di bawah kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan menggantikan kawasan hutan simpan kekal yang dinyahwartakan bagi tujuan pembangunan dengan kawasan hutan lebih luas.

“Di Selangor, kita akui ada nyahwarta hutan, tapi sejak dulu sampai sekarang, kalau kita buang hutan, kita ganti kawasan lain.

“Di Selangor, kawasan hutan kita bukan berkurangan, tetapi semakin bertambah kerana setiap kali kita ambil satu ekar, kita ganti dua ekar kawasan hutan baharu untuk penduduk dan kawasan, ini cara kita,” katanya ketika berucap dalam ceramah jelajah harapan Selangor di Tanjong Karang malam tadi yang turut dihadiri Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Beliau turut membidas parti lain yang menyerang tindakan kerajaan negerinya tanpa “mencermin” perbuatan mereka sendiri.

“Ada juga pihak menyerang kita, Umno serang, Bersatu, Perikatan Nasional (PN) serang, PAS pun serang kita.

“Kadang-kadang dia serang tak tengok cermin, kononnya Selangor rakus merosakkan alam sekitar, hancurkan hutan. Yang serang tak tengok apa jadi dekat Kelantan, tak tengok apa jadi di Kedah.”

Selain kawasan hutan simpan, katanya, kerajaan Selangor di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) juga tidak pernah mengurangkan tanah rizab Melayu.

“Ada tanah rizab Melayu kadang-kadang kita tukar statusnya, tapi sangat minimum, tetapi dalam masa sama, penggantian kita untuk tanah rizab Melayu sentiasa lebih banyak daripada kawasan yang kita ambil atau nilainya lebih tinggi daripada nilai yang kita ambil.

“Sebab itu kalau Barisan Nasional lawan kita selalu guna isu kaum, PN juga sama, guna isu kaum serang, kata jangan sokong PH kerana ada DAP yang kononnya sentiasa bela orang Cina, tak lihat orang Melayu.

“Tiga penggal kita tadbir Selangor, kita buktikan tanah rizab Melayu yang kita pertahankan untuk orang Melayu Islam tidak berkurangan, sebaliknya bertambah di bawah PH.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.