Sarawak had guna tanah tanam sawit, beralih kepada industri makanan

Sarawak had guna tanah tanam sawit, beralih kepada industri makanan

Premier Sarawak itu berkata, situasi semasa dikaitkan dengan tekanan geopolitik dunia seharusnya tidak memberi kesan besar kepada Malaysia yang mempunyai tanah mencukupi.

Abang Johari Openg berkata, aktiviti eksport akan mengukuhkan nilai mata wang ringgit, sekali gus mengekang kenaikan mendadak harga bahan asas makanan.
KUALA LUMPUR:
Agak “aneh” bagi Malaysia yang dikenali sebagai pengeluar bahan asas makanan menghadapi kekurangan sumber makanan, kata Premier Sarawak, Abang Johari Openg.

Walaupun situasi ketika ini dikaitkan dengan tekanan geopolitik dunia, katanya, ia seharusnya tidak memberi kesan besar kepada Malaysia yang mempunyai tanah mencukupi untuk digunakan sektor pertanian.

Bagaimanapun, beliau berkata, sektor pertanian negara hanya akan berjaya sekiranya menggunakan pakai teknologi terkini, termasuk Internet-of-Things (loT).

“Apabila anda adalah pengeluar makanan, anda tidak perlu lagi bergantung kepada import yang menjadi sebab harga (makanan) naik.

“Kalau lihat negara lain yang agak maju umpamanya Thailand, China dan Taiwan, mereka gunakan teknologi, jadi kita hendaklah uruskan ekonomi dari sudut pertanian melalui teknologi,” katanya selepas merasmikan Sarawak Agrofest 2022.

Beliau mengulas isu kekurangan bekalan makanan asas yang dihadapi rakyat ketika ini, khususnya sumber protein.

Abang Johari berkata, aktiviti eksport akan mengukuhkan nilai mata wang ringgit, sekali gus mengekang kenaikan mendadak harga bahan asas makanan.

Katanya, Sarawak komited menjadi pengeksport bersih hasil dan produk pertanian berkualiti tinggi menjelang 2030 bagi memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa.

Bagi menjayakan misi itu, beliau berkata, Sarawak kini mengehadkan penggunaan tanah bagi penanaman kelapa sawit dan mula beralih kepada industri makanan.

“Kita tidak boleh guna pendekatan konvensional. Kalau dulu orang gambarkan petani sebagai orang susah, bawa cangkul dan ini sememangnya tidak menarik minat orang. (Sekarang) Kita mahu memperlihatkan pertanian ini satu bisnes entiti daripada penghasilan hingga hiliran.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.