
Beliau turut menafikan pembangkang melakukan “serangan” peribadi atau memberi tekanan kepada Ismail supaya menyegerakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Kita bukan serang perdana menteri. Orang bercakap tentang pakaian perdana menteri mahal, kita tak sentuh isu itu, kita lebih banyak bercakap tentang cara menangani kos sara hidup yang tinggi,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Pada 1 Julai lalu, Ismail dilaporkan berkata, beliau adalah perdana menteri daripada Barisan Nasional, justeru sebarang tindakan menyerangnya bermakna mahu melemahkan kepimpinan gabungan politik itu.
Katanya, ketika PRU15 hangat diperkatakan, pihak luar semakin rancak cuba memecahbelahkan perpaduan dalam BN.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, perpecahan dalaman Umno disebabkan ahlinya merebut kuasa, bukan kerana pembangkang.
Beliau berkata, rakyat boleh menilai perebutan kuasa dalam Umno yang disifatkan budaya parti itu yang harus dielakkan dalam sesebuah parti pemerintah.
Katanya, ia jelas kelihatan kerana terdapat dua kem dalam parti itu, iaitu kem Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan ingin mengadakan PRU awal, sementara kem perdana menteri enggan berbuat demikian.
“Jangan nak gunakan modal pembangkang untuk satukan mereka kerana hakikatnya perpecahan itu datang dari dalam Umno sendiri.
“Sebenarnya yang banyak kritik perdana menteri bukan pembangkang, tetapi dari dalam Umno sendiri sebab perebutan kuasa.”