
Bercakap dalam persidangan perwakilan MTUC ke-22, Ismail mahu suara pekerja diambil kira dalam semua keputusan lembaga pengarah GLC dan GLIC.
“Menjadi harapan kerajaan supaya wakil pekerja berkenaan turut memainkan peranan dalam urusan pentadbiran nanti,” katanya dalam ucapan.
MTUC mewakili 16.5 juta pekerja dengan slogan Pejuang Kaum Pekerja Sejak 1949.
Setakat ini, pegawai MTUC diberi penghormatan menganggotai pelbagai badan berkanun dan khas termasuk Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Dalam majlis itu, perdana menteri mengumumkan geran tahunan RM4 juta kepada MTUC bagi melaksanakan program kesedaran dan latihan sejajar perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
“Peningkatan kemahiran dan latihan semula merupakan kunci yang penting dalam memastikan Malaysia mempunyai tenaga kerja yang berdaya saing.
“Saya menggesa MTUC mewujudkan pelan pendidikan lebih holistik, efektif, dan komprehensif kepada ahli-ahli kesatuan gabungan di bawahnya serta diperluas kepada golongan pekerja yang lain,” katanya.
Ismail menyeru MTUC melihat semula usaha-usaha yang mampu memastikan tenaga kerja memiliki kemahiran baharu yang sewajarnya dan bukan hanya memperjuangkan soal gaji dan imbuhan.
“MTUC juga perlu prihatin terhadap keperluan ahli kesatuan khusus yang tergolong dalam kumpulan B40 dan kelompok miskin tegar,” katanya.