PN sokong had PM 2 penggal tapi jangan jadi menteri kewangan

PN sokong had PM 2 penggal tapi jangan jadi menteri kewangan

Pembangkang berkata cadangan memisahkan kedua-dua portfolio itu jauh lebih kritikal berbanding sekadar menetapkan tempoh perkhidmatan pemimpin tertinggi negara.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata prinsip kepertanggungjawaban mesti diasingkan melalui pengasingan kuasa. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perikatan Nasional (PN) sedia menyokong cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal namun dengan syarat individu itu tidak dibenarkan memegang portfolio kewangan.

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, berkata penggabungan dua jawatan paling berkuasa itu akan mewujudkan pemusatan kuasa yang ‘tidak sihat’ memandangkan bidang kuasa menteri kewangan terlalu luas untuk dikawal oleh seorang perdana menteri.

“Rakyat mahukan perdana menteri yang bukan sahaja bersih tetapi mesti dilihat bersih. Maka beliau tidak wajar memegang jawatan menteri kewangan dalam waktu sama semasa tempohnya menjadi perdana menteri.

“Kalau perdana menteri memegang tampuk kementerian lain tak apa, tetapi bukan menteri kewangan. Sudah banyak kuasa yang kita berikan kepada menteri kewangan, apatah lagi bila beliau juga merupakan perdana menteri,” katanya dalam perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat.

Hamzah (PN-Larut) berkata, cadangan memisahkan kedua-dua portfolio itu jauh lebih kritikal berbanding sekadar menetapkan tempoh perkhidmatan pemimpin tertinggi negara.

“Pendirian kami adalah prinsip kepertanggungjawaban mesti diasingkan melalui pengasingan kuasa,” katanya.

Pada 5 Jan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) untuk mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan perdana menteri selama 10 tahun pada sesi Dewan Rakyat tahun ini.

Katanya, RUU mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan perdana menteri selama 10 tahun itu adalah langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.

Anwar pada Mac 2025 menegaskan, kerajaan memegang janji melaksanakan agenda reformasi termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.

Beliau dipetik berkata, proses itu perlu dilaksanakan dengan rapi dan memerlukan konsensus semua parti serta sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.

Tahun lalu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berharap kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 24 bulan bagi melaksanakan janji terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.