MB akui ada cadangan roboh Stadium Shah Alam

MB akui ada cadangan roboh Stadium Shah Alam

Amirudin Shari berkata pihaknya akan menjelaskan secara terperinci mengenai cadangan pembangunan terbaru stadium itu pada 16 Julai.

Amirudin Shari berkata Stadium Shah Alam memiliki pelbagai masalah dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi status kurang selamat kerana bumbung stadium terbang.
KUALA SELANGOR:
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari tidak menafikan ada cadangan untuk merobohkan Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, pihaknya akan menjelaskan secara terperinci mengenai cadangan pembangunan terbaharu stadium tersebut pada 16 Julai ini.

“Ia (meruntuhkan stadium) merupakan satu pilihan sejak dari awal lagi. Kita akan jelaskan kemungkinan pada 16 Julai bersempena hari pembukaan Stadium Shah Alam, sekarang masih pramatang tidak elok untuk saya huraikan sebab ia melibatkan perbincangan dengan banyak pihak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor.

Beliau berkata, stadium itu mempunyai pelbagai masalah antaranya bumbung, sistem perpaipan dan padang.

“Sebenarnya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) beri status kurang selamat (kepada Stadium Shah Alam) kerana bumbung stadium yang terbang.

“Jadi kita bincang dengan FAM bagaimana nak buat, jika kita baiki dengan segera, kita hanya betulkan bumbung tetapi yang lain akan kekal masalah. Kita tidak mahu ia seperti itu,” katanya.

Amirudin berkata, cadangan pembangunan stadium itu akan mengambil masa sekurang-kurang dua tahun selain dijangka siap seiring dengan pembinaan LRT 3 di jajaran berdekatan.

“Sudah pasti kita tidak mahu ketinggalan dari sudut teknologi, kalau kita mahu buat, kita buat bagi sempurna selain, cadangan pembangunan ini telah dinilai oleh kumpulan profesional secara teknikal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.