Permohonan Irwan Serigar, Arul Kanda batal tuntutan saman 1MDB USD6.59 bilion didengar 19 Okt

Permohonan Irwan Serigar, Arul Kanda batal tuntutan saman 1MDB USD6.59 bilion didengar 19 Okt

Irwan Serigar dan Arul Kanda didakwa melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyalahgunakan wang 1MDB.

Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy untuk membatalkan saman 1MDB terhadap mereka secara serentak. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Permohonan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy untuk membatalkan saman difailkan 1MDB terhadap mereka yang menuntut bayaran USD6.59 bilion, akan didengar 19 Okt ini.

Peguam Lavinia Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan berkata, tarikh baharu itu ditetapkan selepas pihak defendan dan plaintif bersetuju untuk dua permohonan itu didengar serentak pada 19 Okt di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Amarjeet Singh.

Peguam itu ketika dihubungi hari ini berkata, pengurusan kes tersebut ditetapkan pada 16 Ogos.

Permohonan untuk membatalkan saman itu difailkan Arul Kanda bulan lalu manakala Mohd Irwan, pada 18 Feb.

Dalam permohonan itu, Mohd Irwan antaranya mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak USD1.83 bilion dan USD3.5 bilion.

Arul Kanda dan Mohd Irwan disaman 1MDB Mei tahun lalu lalu berhubung dakwaan mereka telah melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah USD1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan itu melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah USD3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan USD1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

Menurut 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian tersebut tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.

Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar USD6.59 bilion berhubung pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.