
Sakit belakang bukanlah sesuatu yang asing – pasti anda kenal orang yang mengalaminya malah mungkin juga merasainya sendiri – malah ia adalah masalah muskuloskeletal yang paling biasa dilaporkan di seluruh dunia.
Menurut International Association for the Study of Pain pada 2017, sakit pada bahagian pinggang dialami kira-kira 7.5% atau sekitar 577 juta orang di seluruh dunia.
Di Malaysia, jumlah ini bererti lebih 2.5 juta orang mengalami ketakselesaan seperti itu.
Punca sakit pinggang sukar didiagnos dan seolah-olah “muncul” entah dari mana. Penjaga kesihatan primer juga tidak dapat memberikan punca patologi atau anatomi khusus yang boleh dikenal pasti bagi 85-95% kes daripada mereka yang menunjukkan gejalanya.
Kajian oleh Jabatan Trauma dan Ortopedik di Hospital Mater Dei, serta Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan dan Pembedahan di Universiti Malta mengetengahkan betapa peningkatan ketara kes baharu dapat dilihat berlaku susulan era pandemik Covid-19.
Daripada 388 responden yang disoal, 30% biasa mengalami sakit belakang kronik sebelum pandemik, namun bilangan itu melonjak kepada 49% selepas Covid-19.
Malah golongan itu turut mendakwa tidak pernah mengalami sakit belakang sebelum era pandemik.

Namun selepas pandemik berlaku, perubahan ketara dapat dilihat dalam rutin harian dan aktiviti fizikal responden, termasuk duduk untuk tempoh lama dan kurang melakukan aktiviti fizikal. Dua faktor ini paling lazim dikaitkan dengan masalah sakit belakang sejak pandemik melanda.
Kajian di Malta itu merumuskan bahawa pandemik rata-rata turut mengakibatkan perubahan sikap yang akhirnya membawa kepada peningkatan masalah sakit belakang. Kajian itu turut menjangkakan kesan berlanjutan terhadap kesihatan dan produktiviti responden pada masa depan, seterusnya berkemungkinan juga akan menjejaskan ekonomi dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Dr Chang Kok Chun, iaitu pakar bedah ortopedik dan trauma di Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) berkata: “Pengherniaan cakera lumbar (lebih dikenali sebagai ‘slipped disc’ atau cakera teranjak) berlaku apabila struktur sokongan (cakera) antara dua segmen tulang belakang (vertebra) di bahagian pinggang beralih dan menghimpit akar saraf tulang belakang. Ini mengakibatkan sakit pada bahagian pinggang yang mungkin dirasai di keseluruhan sebelah kaki (skiatiks).

Tambahnya, cakera teranjak pula lebih lazim dilihat dalam golongan berusia 30-40, khususnya lelaki dengan kadar prevalens sebanyak 10%.
Jelasnya, keadaan itu biasanya berlaku kerana seseorang individu menggunakan teknik salah ketika mengangkat barangan berat.
“Ergonomiks yang baik adalah kunci untuk mengelak seseorang daripada menghadapi masalah ini. Tabiat kurang melakukan pergerakan ketika pandemik Covid-19 mengakibatkan otot belakang semakin lemah seterusnya menyebabkan seseorang lebih terdedah kepada insiden cakera teranjak.”
Gejala ringan biasanya boleh dirawat dengan ubat tahan sakit dan/atau fisioterapi. Bagaimanapun, sekiranya sakit yang dialami berlanjutan selama lebih satu atau dua bulan, doktor lazimnya akan merujuk pesakit ke hospital untuk mendapatkan imbasan MRI.
Untuk cakera teranjak, pembedahan memang tidak boleh dielakkan jika pesakit mengalami sakit teruk yang tidak dapat diredakan dengan ubat tahan sakit, rasa lemah pada kaki dan tidak boleh membuang air kecil. Dalam kes seperti itu, langkah menangguhkan pembedahan mungkin boleh mengakibatkan lumpuh kekal.
Banyak cara untuk melakukan pembedahan ‘discectomy’, iaitu antara pembedahan paling biasa dilakukan bagi membetulkan cakera teranjak. Ini termasuk pembedahan terbuka, ‘microdiscectomy’, dan ‘endoscopic discectomy’.

Microdiscectomy dilakukan dengan menggunakan “tubular wound retractor” di bawah pengvisualan mikroskop, manakala “endoscopic discectomy” pula dibuat menggunakan pengvisualan endoskop dengan imbasan video. Kedua-duanya memerlukan peralatan khusus dan kosnya dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding discectomy terbuka.
Walaupun mahal, kelebihan discectomy mikro dan endoskop adalah tahap kesakitan dan trauma pesakit lebih rendah, selain dapat sembuh dengan lebih cepat. Lebih penting lagi kerana ia juga mengurangkan risiko pesakit mengalami kecederaan akar saraf ketika pembedahan dilakukan.
Pembedahan lazimnya dilakukan oleh pakar bedah ortopedik atau pakar bedah saraf dan ketiga-tiga jenis pembedahan itu biasanya menunjukkan kejayaan sehingga 80-90%.
“Untuk mengurangkan risiko mengalami cakera teranjak, seseorang boleh mengamalkan teknik mengangkat barang yang betul, mengekalkan berat badan yang sihat, postur baik, meregangkan otot selepas duduk untuk tempoh lama, bersenam secara kerap dan berhenti merokok,” nasihat Dr Chang.
Klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut, atau berbincang dengan pegawai Sunway Medical Centre.