
Seorang ahli Majlis Am, A Sivananthan, menuduh pemegang jawatan melanggar beberapa peruntukan dalam perlembagaan organisasi tersebut, dan mendakwa persidangan itu akan diadakan “secara tidak sah”.
Sivananthan mendakwa persidangan itu, yang dijadualkan berlangsung pada esok dan Ahad, hanya boleh diadakan dalam tempoh Oktober hingga Disember, menurut perlembagaan MTUC.
Beliau berkata, tarikh, lokasi dan agenda majlis itu tidak diputuskan oleh Majlis Am.
“Perwakilan dinafikan Laporan Tiga Tahunan MTUC dan penyata akaun yang telah diaudit untuk 2020, 2021 dan 2022,” katanya dalam kenyataan.
Sivananthan turut mendakwa Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor gagal menghantar agenda lengkap kepada ahli-ahli gabungan dalam tempoh 14 hari sebelum persidangan.
“Mengikut peraturan tetap persidangan, setiausaha agung hendaklah membentangkan Laporan Majlis Am, yang perlu diutamakan berbanding semua urusan persidangan yang lain,” katanya.
“Bagaimanapun, tiada laporan sedemikian dibentangkan di Majlis Am sebelum persidangan. Laporan Majlis Am penggal sebelum ini juga tidak dibentangkan seperti yang diarahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).”
FMT telah menghubungi Kamarul untuk mendapatkan komen.
Sivananthan menggesa JPPM agar tidak lagi membiarkan pelanggaran perlembagaan organisasi oleh kepimpinan MTUC.
Berhubung hal kewangan, katanya, setiausaha kewangan MTUC tidak membentangkan penyata akaun pada setiap prosiding mesyuarat suku tahunan Majlis Am.
Dakwanya lagi, Majlis Am tidak menerima sebarang penyata akaun tahunan yang telah diaudit untuk 2020, 2021 dan 2022, dan ini juga tidak dibentangkan kepada kesatuan gabungan untuk dibahaskan.
Beliau berkata, kehadiran dan ucapan perdana menteri pada persidangan ini juga tidak dibentangkan dalam mana-mana mesyuarat Majlis Am.
“Kami berpendapat bahawa persidangan ini mesti ditangguhkan. Jika tidak, perdana menteri bukan sahaja akan menghadiri persidangan yang tidak sah, tetapi beliau juga akan dilihat sebagai merelakan pencabulan Perlembagaan MTUC oleh kepimpinan semasa,” katanya.