50,000 kontraktor Melayu ‘gulung tikar’ dalam proses diselesaikan, kata Tok Pa

50,000 kontraktor Melayu ‘gulung tikar’ dalam proses diselesaikan, kata Tok Pa

Kontraktor Melayu tidak dapat memperbaharui lesen atas pelbagai faktor terutama kesan kenaikan ketara harga bahan binaan sejak 2018.

Mustapa Mohamed berkata, Kementerian Kerja Raya sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk memperluaskan lagi skop barangan yang akan dipersetujui untuk kenaikan harga sebagai antara langkah mengurangkan tekanan harga bahan binaan dihadapi kontraktor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Masalah dihadapi hampir 50,000 kontraktor Melayu hingga terpaksa “gulung tikar” sedang dalam proses untuk diselesaikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, masalah membelenggu kontraktor Melayu pada ketika ini disebabkan mereka tidak dapat memperbaharui lesen atas pelbagai faktor.

“Isu berkenaan turut berkaitan dengan kenaikan kos harga bahan binaan kerana ketika ini terdapat beberapa keluaran barangan sahaja dipersetujui oleh kerajaan untuk kenaikan harga,” katanya menurut laporan Bernama.

Justeru, Mustapa berkata, Kementerian Kerja Raya sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk memperluaskan lagi skop barangan yang akan dipersetujui untuk kenaikan harga, sekali gus dapat menyelesaikan perkara yang sedang berlaku ketika ini dalam kalangan kontraktor Melayu.

Kelmarin, media melaporkan, Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Mohd Rosdi Ab Aziz yang dipetik sebagai berkata, hampir 50,000 kontraktor Melayu terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat memperbaharui lesen atas pelbagai faktor terutama akibat terkesan dengan kenaikan ketara harga bahan binaan, sejak 2018.

Beliau berkata, kekurangan projek susulan situasi pandemik Covid-19 juga menjejaskan kebanyakan kontraktor selain tidak mempunyai baki akaun modal yang mencukupi mengikut kelas kontraktor masing-masing.

“Di Malaysia, seramai 126,000 kontraktor sama ada yang berdaftar dan tidak berdaftar. Daripada jumlah itu, hampir 50,000 kontraktor tidak dapat memperbaharui lesen atas pelbagai kekangan terutama kos bahan binaan yang semakin meningkat.”

Katanya lagi, setiap modal yang diperlukan untuk memperbaharui lesen bergantung kepada gred kontraktor masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.