
Dengan diiringi kereta peronda polis, tiga van polis membawa semua jenazah ke rumah keluarga mereka di Kampung Labu Kubong dekat Lubuk Merbau sebelum disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir oleh kira-kira 300 ahli keluarga dan kenalan.
Jenazah kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan kira-kira 500 meter dari rumah keluarga mereka untuk disemadikan sekitar 10 malam dalam suasana pilu dan hujan renyai.
Kelima-lima mereka, Muhammad Rosli Ibrahim 33, bersama isterinya Nor Afiqah Abdullah Sani, 35, dan anak mereka Nur Safwa Irdina, 7, Nur Sofea Raida, 6 dan bayi lelaki Rizqy Ramadhan berusia setahun maut dalam kemalangan kira-kira 3 petang kelmarin.
Kejadian tragis itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis Toyota Corolla yang dipandu Muhammad Rosli dari arah Muadzam Shah menghala ke Kuantan memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat.