Mahkamah tingkat kawalan elak kekecohan, kata timbalan menteri

Mahkamah tingkat kawalan elak kekecohan, kata timbalan menteri

Mas Ermieyati Samsudin berkata, Kompleks Mahkamah mempunyai SOP, tetapi budi bicara diamalkan khusus kepada orang awam dan pengamal media.

Seorang peguam yang mewakili Samirah Muzaffar dan dua remaja dalam kes pembunuhan ketua pegawai eksekutif Cradle Fund bergelut dengan seorang jurugambar di Mahkamah Tinggi Shah Alam Isnin lalu.
KOTA BHARU:
Pihak pentadbiran mahkamah akan lebih berhati-hati serta meningkatkan kawalan bagi mengelakkan sebarang kekecohan atau perkara tidak diingini dalam kawasan terbabit.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Mas Ermieyati Samsudin berkata, walaupun Kompleks Mahkamah sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP), tetapi konsep budi bicara diamalkan khusus kepada orang awam dan pengamal media supaya tidak membebankan mana-mana pihak.

Beliau berkata, pelbagai kemungkinan boleh berlaku di mahkamah, termasuk tindakan daripada orang kena tuduh (OKT) dan insiden yang berlaku di Mahkamah Tinggi Shah Alam memberi kesedaran kepada pihak awam dan pengamal media yang ingin membuat liputan.

“Kita sedia maklum insiden yang berlaku baru-baru ini menjadi perhatian banyak pihak dan ia melibatkan isu keselamatan.

“Tindakan dan kawalan daripada pihak mahkamah akan terus diberi perhatian supaya tiada lagi insiden kekecohan atau perkara tidak diingini berlaku di kawasan Kompleks Mahkamah,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di Kompleks Mahkamah Kota Bharu.

Menurut Mas Ermieyati, mengikut SOP sedia ada, liputan media hanya dibenarkan setakat pintu masuk ke lokap sahaja, sebaik OKT dihantar ke mahkamah oleh polis.

Media melaporkan seorang peguam lelaki mewakili Samirah Muzaffar dan dua remaja dalam kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan terlibat dalam insiden kekecohan dengan seorang jurugambar, sebelum perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 Jun lepas.

Peguam berusia 50 tahun itu cedera di bahagian kepala, manakala jurugambar berkenaan calar di muka sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.