
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa yang juga pengerusi pasukan khas itu, berkata kerajaan tidak boleh membiarkan kuasa pasaran begitu sahaja, sebaliknya akan membuat intervensi tertentu.
“Kita mengenal pasti dalam sistem pengeluaran ayam, telur, minyak masak dan lain-lain, kecenderungannya kalau tidak dikawal akan wujud kartel untuk memastikan mereka mempunyai satu model perniagaan yang dapat memaksimumkan keuntungan,” katanya dipetik Bernama.
Sehubungan itu, beliau berkata, setiap proses akan diteliti di setiap peringkat untuk mengenal pasti di mana tindakan di luar kerangka undang-undang dapat diambil untuk mengatasi isu kartel itu.
“Kita tahu sistem orang tengah memang wujud sekian lama dalam negara…tetapi ia menjadi salah apabila mereka mula membuat keuntungan secara melampau, ‘cekik darah’ kata orang.
“Jadi, kita perlu mengkaji…sebagai contoh ayam dikeluarkan peladang dan dijual secara pukal kepada pengedar (orang tengah yang tidak menternak ayam) dan menjual kepada peruncit. Kajian menunjukkan margin keuntungan kepada pengedar lebih besar daripada margin keuntungan diperoleh peruncit atau peladang itu sendiri.”
Justeru, katanya, situasi itu akan diteliti pasukan khas kerana tindakan itu menyebabkan kos terakhir begitu tinggi dan terpaksa ditanggung pengguna.
“Sekiranya orang tengah mengambil keuntungan berlebihan dan kesempatan dalam suasana kesempitan yang bebannya ditanggung pengguna, keadaan itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya sambil menambah perlu ada intervensi tertentu oleh kerajaan demi menjaga kepentingan pengguna di peringkat bawah.