Berita palsu punca minyak masak peket kurang, kata Annuar

Berita palsu punca minyak masak peket kurang, kata Annuar

Pengerusi pasukan khas jihad tangani inflasi itu berkata dakwaan kerajaan menarik semua subsidi bermula 1 Julai menyebabkan berlaku pembelian secara banyak, sekali gus menjejaskan bekalan.

Jumlah minyak masak peket sebanyak 60,000 tan metrik disubsidi oleh kerajaan setiap bulan dijangka mencukupi untuk pasaran, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Annuar Musa.
PETALING JAYA:
Penyebaran berita palsu yang mendakwa kerajaan menarik balik semua subsidi pada 1 Julai adalah antara punca kekurangan bekalan minyak masak di pasaran terutama jenis dalam peket, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Annuar Musa.

Katanya, kesan penyebaran berita itu mengakibatkan berlaku pembelian minyak masak peket dalam jumlah banyak, sekali gus menyebabkan bekalan terjejas.

“Menteri telah beri jaminan untuk memastikan bekalan mencukupi. Soal bekalan ini, kita sedang membuat penelitian dengan lebih terperinci.

“Kita kata tadi, bekalan banyak tapi mungkin ada ketirisan tapi tak cukup sementara ini, berkemungkinan kerana beberapa sebab. Satu daripadanya tersebar berita-berita tidak benar, subsidi minyak dihentikan. Mulai 1 Julai, tiada lagi subsidi minyak.

“Maka mungkin ada pihak rasa bimbang, mereka beli secara lebih dan menyebabkan bekalan terjejas. Itu sedang dikaji tapi kita ada langkah tertentu tapi soal tak cukup itu, kita ada kaedah tertentu untuk kita perbaiki dalam masa terdekat,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Beliau yang juga menteri komunikasi dan multimedia berkata, jumlah minyak masak peket sebanyak 60,000 tan metrik yang disubsidi oleh kerajaan setiap bulan dijangka mencukupi untuk pasaran.

“Sepatutnya lebih daripada mencukupi kecuali kalau ada perkara tertentu berlaku yang perlu kita uruskan lagi,” katanya.

Annuar berkata, bermula Ogos, minyak masak bersubsidi hanya akan dikeluarkan dalam bentuk peket plastik dengan isipadu 1kg.

“Untuk pengedaran minyak masak ini juga, kita faham ia melibatkan pengilang, pembungkus dan peruncit. Kita akan menyemak ketiga-tiga lapisan itu untuk kenal pasti sekiranya ada berlaku ketirisan termasuk tindakan menyeludup produk keluar dari negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.