
Semasa pendengaran kes hari ini, peguam Khoo Guan Huat yang mewakili kontraktor berkenaan mendakwa, “pihak-pihak terlibat hampir mencapai penyelesaian.”
Mahkamah tertinggi itu dijadualkan mendengar permohonan kerajaan untuk membatalkan perintah mahkamah yang diberikan kepada Dhaya Maju yang membenarkan syarikat itu mencabar penamatan kontrak KVDT2 oleh kerajaan, serta permohonan kerajaan untuk mengetepikan injunksi Erinford yang diberikan.
Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan bertanya kepada pihak kerajaan dan peguam syarikat mengenai status semasa rundingan penyelesaian itu.
“Terdapat liputan dalam media yang mengatakan bahawa akan ada penyelesaian,” kata Nallini, dengan menambah bahawa mahkamah bersedia untuk menjadualkan semula pendengaran sementara pihak-pihak berkenaan meneruskan rundingan penyelesaian.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi memberitahu mahkamah bahawa masih terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan sebelum penyelesaian itu dapat dimuktamadkan.
Asliza Ali, juga peguam kanan persekutuan, menambah bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu mendapatkan arahan lanjut daripada Kementerian Pengangkutan dan meminta mahkamah menetapkan perkara itu untuk sebutan sementara menunggu penyelesaian. Perkara ini dipersetujui Khoo.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 29 Julai untuk sebutan semula.
Hakim lain yang bersidang bersama Nallini ialah Vernon Ong dan Zabariah Mohd Yusof.
Dua tindakan undang-undang difailkan
Pada 2020 Dhaya Maju memulakan saman terhadap kerajaan, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dan dua pihak lain, dengan memohon untuk mengisytiharkan penamatan kontrak itu tidak sah, menyalahi undang-undang dan melanggar perjanjian penyelesaian yang dimeterai antara kedua-dua pihak sebelum ini.
Katanya, kerajaan tiada asas untuk menamatkan kontrak KVDT2 atas alasan kepentingan awam.
Dhaya Maju juga mendakwa Wee mempunyai “niat tersembunyi dan tidak wajar” dalam menamatkan kontrak tersebut.
Syarikat itu turut memfailkan semakan kehakiman pada tahun yang sama dalam usaha untuk membatalkan keputusan menamatkan kontrak KVDT2.
KVDT2 adalah salah satu daripada 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang menurut kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen telah diberikan menerusi rundingan langsung semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH)
Projek itu menjangkau jarak 110km dan melibatkan dua landasan kereta api KTM – satu dari Salak Selatan ke Seremban dan satu lagi dari titik antara KL Sentral dan Angkasapuri ke Pelabuhan Klang.