
KS Jomo berkata, ini disebabkan wujudnya monopoli, sambil menambah, pasaran negara “terlalu kecil dan ia bukan bebas”.
“Kita mempunyai pihak tertentu yang memonopoli (pasaran). Jika kita biar pasaran tentukan, mereka yang memonopoli pasaran akan tentukan harga (barangan). Ini bukanlah suatu perkara yang baik,” katanya dalam satu program bual bicara, malam tadi.
Beliau turut menggesa kerajaan supaya menyediakan subsidi yang memanfaatkan penerima, termasuk bagi sektor penjagaan kesihatan.
Jomo berkata, Putrajaya harus mencontohi India yang menyediakan subsidi bahan makanan untuk mereka dalam kategori berpendapatan rendah, bukannya wang tunai.
“Program subsidi ini memanfaatkan wanita kerana jika diberikan wang tunai, pasangan mereka akan menggunakan wang itu untuk membeli rokok. Bahan makanan membantu mereka menyediakan makanan yang berkhasiat (untuk diri mereka sendiri).”
Jomo turut mengkritik langkah kerajaan yang memberi subsidi barangan seperti gula yang menurutnya menjejaskan kesihatan rakyat.
Katanya, subsidi gula menyumbang kepada pengambilan gula yang tinggi dan seterusnya menyebabkan Malaysia menjadi antara negara yang mencatatkan jumlah kes diabetes tertinggi.
Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Dr Michael Jeyakumar Devaraj menggesa kerajaan mengambil pendekatan holistik berhubung pengeluaran makanan.
Katanya, ia bukan hanya tertumpu kepada peningkatan pengeluaran makanan tetapi juga pemeliharaan tanah ladang dan laut.
Beliau mengkritik kerajaan negeri kerana tidak memikirkan perkara itu dengan melakukan pembersihan tanah ladang dan mengambil semula tanah untuk menjana “pendapatan”.
“Di Perak, petani dihalau dari tanah ladang mereka dan tanah dijual kepada pemaju untuk membina kilang dan rumah. Di Pulau Pinang, ia (kerajaan negeri) cuba membina pulau buatan,” katanya dengan menambah bahawa projek sebegitu akan menjejaskan industri perikanan.