
Ketua Pengarah DBP Abang Sallehuddin Abang Shokeran, berkata pindaan akta baharu itu juga akan memberi kuasa kepada agensi berkenaan untuk memastikan bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan itu tidak diabaikan.
“Pindaan ini memberi kuasa kepada DBP dari segi penguatkuasaan dan tindakan undang-undang jika terdapat pelanggaran penggunaan bahasa Melayu dan antara perkara yang dicadangkan ialah tindakan terhadap mana-mana pihak yang sengaja menghina dan memperlekeh bahasa kebangsaan.
“Perkara ini dilakukan berasaskan peraturan dan undang-undang yang ada, ia bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak tetapi untuk memastikan keharmonian masyarakat berasaskan Perlembagaan dan Rukun Negara,” katanya kepada pemberita di Bandar Melaka.
Mengulas lanjut, Abang Sallehuddin berkata, pindaan itu juga antara tuntutan masyarakat yang berasa sangat rimas dengan keadaan sesuatu bandar atau kawasan dalam Malaysia ini yang seolah-seolah berada di negara asing berikutan tidak menggunakan bahasa kebangsaan seperti pada jalan, papan tanda dan sebagainya.
“Ini yang kita akan selaraskan kerana ada peraturan-peraturan tertentu di pihak berkuasa tempatan dan ia akan dibincangkan bersama agensi-agensi tertentu,” katanya.