
Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pemeriksaan balas bermula esok kerana beliau tidak mahu perbicaraan itu terhalang.
“Tarikh (perbicaraan) saya padat. Kita teruskan,” kata hakim.
Terdahulu, Zahid yang diwakili Peguam Hisyam Teh Poh Teik meminta pemeriksaan balas itu ditangguhkan, sementara menunggu pendengaran permohonan penangguhan ditetapkan, pada 7 Jul.
Sequerah berkata, beliau tidak benarkan penangguhan prosiding sehingga beliau membuat keputusan mengenai permohonan penangguhan itu.
Hisyam kemudian meminta permohonan penangguhan itu didengar esok dan berkata, perlu ada pembelaan lengkap sebelum pemeriksaan balas untuk memberi anak guamnya perbicaraan adil.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran membantah permohonan itu didengar esok memandangkan pihak pendakwaan tidak bersedia kerana tarikh telah ditetapkan pada 7 Jul dan mereka memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan.
Hakim berkata, beliau perlu mengimbangi permintaan kedua-dua pihak dan memerintahkan pihak pendakwaan memfailkan afidavit pada minggu ini, sambil menetapkan tarikh perbicaraan, pada 4 Jul.
Zahid memfailkan permohonan menangguhkan prosiding membela diri, sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung rayuannya mendapatkan salinan percakapan saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Berdasarkan afidavit sokongan difailkan bersama permohonan itu, Zahid berkata, beliau dinasihatkan peguamnya memperoleh salinan rakaman percakapan saksi bagi memastikan wujudnya sokongan antara keterangannya dan keterangan mereka, jika tidak, katanya hak beliau untuk mendapat perbicaraan adil akan terjejas.
Saksi-saksi itu termasuk anaknya Nurulhidayah, adiknya, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dan ahli perniagaan Khalid Mohamad Jiwa.
Pada 9 Mei lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zahid mendapatkan rakaman percakapan 15 saksi daripada SPRM kerana saksi boleh terdedah kepada intimidasi dan sebagai contoh, diugut agar memberikan keterangan berbeza daripada yang terdapat dalam rakaman kenyataan.