
Dalam kejadian 9.55 pagi itu pemandu lori, seorang lelaki berusia 36 tahun cedera di kepala dan dikejarkan ke Hospital Slim River.
Ketua Polis Muallim, Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata kejadian berlaku ketika lori tersebut dalam perjalanan menghantar simen konkrit.
Katanya, ketika menuruni bukit di kawasan perumahan tersebut, pam brek angin lori itu kosong menyebabkan pemandunya gagal memberhentikan kenderaan.
“Ini menyebabkan lori itu terbabas lalu merempuh bahagian hadapan dua rumah terbabit,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Menurutnya, bagaimanapun, semua penghuni di kedua-dua rumah itu terselamat.
“Pemandu lori masih menerima rawatan di hospital dan setakat ini, belum ada laporan dibuat. Bagaimanapun, spesimen darah mangsa diambil dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Ipoh untuk dianalisa,” katanya.
Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.