
Hakim Ahmad Bache berkata, R Sri Sanjeevan yang juga bekas pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), telah berjaya membuktikan kesnya berdasarkan imbangan kebarangkalian.
“Pengisytiharan bahawa plaintif telah ditahan selama 16 hari mengikut undang-undang pencegahan menyalahi undang-undang dan melanggar Perkara 5(2) Perlembagaan Persekutuan,” kata hakim dalam prosiding dalam talian.
Ahmad berkata, mahkamah mendapati Sanjeevan, 36, juga telah diseksa dan diserang semasa ditahan.
Hakim, yang menganugerahkan kos sebanyak RM40,000 kepada Sanjeevan berkata, ganti rugi akan dinilai kemudian.
Peguam S Preakas dan V Satchi mewakili Sanjeevan, manakala Peguam Kanan Persekutuan Norfuzani Mohd Nordin mewakili kerajaan.
Sanjeevan ditahan kerana didakwa terlibat dalam kegiatan jenayah pada 10 Jul 2016 dan dihadapkan di hadapan majistret pada hari berikutnya.
Majistret mengeluarkan perintah reman 21 hari mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 2015.
Sebelum tamat tempoh reman, dia memfailkan permohonan habeas corpus kerana tangkapan terhadapnya menyalahi undang-undang.
Seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi memerintahkan pembebasan Sanjeevan pada 26 Jul 2016 kerana melanggar peruntukan dalam Poca.
Sanjeevan memfailkan saman itu tiga tahun lalu, menuntut pampasan dan ganti rugi.
Beliau menamakan pegawai penyiasat Poonam E Keling, ketua polis negara dan kerajaan sebagai defendan.
Kerajaan dalam pembelaannya menafikan penahanan itu menyalahi undang-undang dan berkata, serangan itu tidak berlaku.