Terjatuh dalam tali air, kanak-kanak 11 tahun ditemui lemas

Terjatuh dalam tali air, kanak-kanak 11 tahun ditemui lemas

Mangsa terjatuh ke dalam tali air ketika memancing bersama rakannya berhampiran balai raya Chengal Lempong di Kuantan.

Che Wan Izz Aqil Haris Che Wan Hamizi ditemui orang awam di kawasan tali air dekat balai raya Chengal Lempong di Kuantan semalam. (Gambar JBPM)
KUANTAN:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemui lemas dipercayai akibat terjatuh ke dalam tali air ketika memancing bersama rakannya berhampiran balai raya Chengal Lempong, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.19 malam sebelum lima anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng dikerah ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, Che Wan Izz Aqil Haris Che Wan Hamizi dari Taman Unity ditemui orang awam sekitar tali air itu selepas rakan mangsa meminta pertolongan daripada penduduk berdekatan.

“Anggota bomba yang tiba di lokasi bertindak memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum ketibaan ambulans, namun pasukan perubatan yang hadir kemudian mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.