
Hamid Sultan Abu Backer berkata, proses timbang tara akan membantu doktor menjaga kerahsiaan dan mengelakkan tekanan disebabkan dakwaan fitnah terhadap mereka jika ia didengar secara terbuka di mahkamah.
“Pengamal perubatan berkemungkinan mengakui liabiliti kecuaian kerana proses timbang tara adalah sulit,” katanya dalam satu persidangan di Seremban pada Sabtu.
Ia juga boleh membantu mengurangkan tunggakan kes di mahkamah, tambahnya.
Beliau berkata, proses “timbang tara mampu milik” patut menjadi langkah pilihan profesion perubatan dalam kes kecuaian perubatan pada masa akan datang.

Hamid, yang bersara sebagai hakim Mahkamah Rayuan tahun lepas berkata, profesion perubatan perlu dikejutkan daripada lena dengan menyifatkan undang-undang berhubung kecuaian perubatan sebagai “tidak bermaya”.
“Mereka dalam profesion perubatan dan yang terbabit dalam pertikaian mengenai kecuaian perubatan di mahkamah menderita dalam proses yang memalukan tanpa perlindungan daripada undang-undang fitnah.
“Litigan mahukan (pampasan) wang untuk kecederaan mereka dan dalam proses itu reputasi pengamal perubatan profesional tercemar,” katanya.
Beliau berkata, penderitaan yang dialami oleh pengamal perubatan profesional boleh diringankan atau dielakkan dengan pengawalseliaan undang-undang mengenai liabiliti dan kuantum serta penyelesaian pertikaian melalui timbang tara mampu milik.