
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, turut mengesahkan perkara itu dengan memaklumkan bahawa Siti Aishah dipanggil ke Balai Polis Sungai Senam kira-kira 1.45 tengah hari tadi untuk diambil keterangan.
Sementara itu Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan ketika dihubungi berkata, beliau belum menerima sebarang maklumat berhubung siasatan terhadap Siti Aishah.
Menerusi klip audio yang tular yang dipercayai suara Siti Aishah, dia memaklumkan rumahnya diserbu oleh pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis yang merampas beberapa barang miliknya yang digunakan untuk membuat rakaman video TikTok.
Bekas ketua Srikandi PKR itu juga mendakwa bahawa siasatan ke atasnya dilakukan susulan laporan polis yang dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO) terhadapnya di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi baru-baru ini.
Menerusi akaun Twitternya, Siti Aishah berkongsi pautan ke video TikTok miliknya pada 23 Jun lalu dan mengulas isu berkaitan keputusan kerajaan menarik subsidi mulai 1 Julai ini.
Siti Aishah dilantik sebagai senator pada 2015 dan beliau juga aktif sebagai penulis blog yang mengulas isu berkaitan politik negara.