Tiada krisis dalam Umno selepas gugur Tajuddin, kata Mahdzir

Tiada krisis dalam Umno selepas gugur Tajuddin, kata Mahdzir

Naib presiden Umno itu turut menafikan wujudnya puak tertentu dalam parti berkenaan.

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid, menolak berlakunya krisis dalam parti itu selepas pemecatan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman daripada MKT Umno. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengguguran Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tidak menggambarkan wujudnya krisis dalaman parti itu.

Naib presidennya, Mahdzir Khalid, berkata Umno tidak menghadapi sebarang krisis dalaman ketika ini dan menafikan wujudnya puak tertentu di dalam parti itu.

“Tidak ada apa-apa krisis. Kalau nak krisis, ia akan jadi puak. Jadi pasukan, itu barulah krisis. Ini tidak jadi puak apa-apa pun,” katanya selepas menyampaikan skrol diploma dan sijil kepada 648 graduan Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Khamis lalu, MKT Umno mengumumkan Tajuddin digugurkan daripada ahli MT menerusi satu surat bertarikh 21 Jun.

Jawatan tersebut telah diganti bekas ketua penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil, yang mengangkat sumpah, pada Jumaat.

Susulan itu, pelbagai spekulasi timbul termasuk mengaitkan wujudnya perpecahan dalam kalangan pucuk pimpinan Umno.

Semalam, menurut laporan akhbar harian China Press, sumber parti mengesahkan ketidakhadiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, dalam mesyuarat MT itu.

Laporan itu berkata, penyingkiran Tajuddin yang sealiran dengan Ismail, daripada MT Umno juga menjadi spekulasi sebagai punca Ismail tidak menghadiri mesyuarat itu.

Beberapa pemimpin parti, berkata ketiadaan Ismail boleh dilihat sebagai beliau membuat pendirian berhubung urusan Tajuddin, dan boleh ditafsirkan sebagai menunjukkan bahawa ‘perang sudah bermula’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.