Pilihan raya berasingan tak sesuai selepas Nov, kata Loke

Pilihan raya berasingan tak sesuai selepas Nov, kata Loke

Sebelum ini, PH mengambil pendirian tidak akan membubarkan DUN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sekiranya pilihan raya umum dipanggil sebelum mandat tamat pada Jul tahun depan.

Setiausaha DAP Loke Siew Fook (tengah) menghadiri pelancaran jentera pilihan raya parti itu di Negeri Sembilan. Katanya, DAP bersedia berdepan pilihan raya umum dalam tempoh enam bulan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan perlu melupakan keputusan terdahulu untuk mengadakan pilihan raya Parlimen dan negeri berasingan sekiranya pilihan raya umum diadakan selepas November, kata Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, hari ini.

Beliau mencadangkan, gabungan pembangkang melaksanakan pilihan raya peringkat negeri secara serentak dengan Parlimen sekiranya pilihan raya umum dibuat selepas November.

Loke berkata, keputusan terdahulu untuk tidak melaksanakan pilihan raya di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, dibuat berdasarkan jangkaan pilihan raya umum akan diadakan, pada awal tahun ini.

Namun, pilihan raya umum berkemungkinan tidak akan dilaksanakan awal susulan faktor inflasi, kenaikan kos sara hidup, pemansuhan subsidi dan pelaksanaan kawalan harga, pada 1 Jul.

“Kini, bukan masa terbaik bagi Barisan Nasional dan Perikatan Nasional melaksanakan pilihan raya kerana mereka sendiri tidak bersedia ketika ini,” katanya.

“Jika kita buat pilihan raya berasingan (jurang panjang antara pilihan raya Parlimen dan negeri) contohnya selepas setahun, mungkin ramai pengundi akan pulang untuk mengundi.

“Namun, jika kita buat pilihan raya berasingan selepas beberapa bulan, pengundi akan rasa tidak gembira kerana pilihan raya tidak serentak; meminta mereka pulang dan mengundi semula akan menyusahkan,” katanya.

Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang dikuasai kerajaan Pakatan Harapan.

Loke berkata, beliau akan membawa cadangan itu untuk dibentangkan dalam majlis presiden dan meminta tidak melakukan pilihan raya berasingan.

Penggal Parlimen dan beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir, pada Jul tahun depan, dan pilihan raya perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari pembubaran atau pertengahan September, paling lewat.

Sarawak, Sabah, Melaka dan Johor sudah menjalankan pilihan raya negeri dan penggal negeri berkenaan tidak sejajar dengan Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.