Mengapa hanya Pemuda Umno dapat taklimat khusus 5G, Pemuda Bersatu soal Annuar

Mengapa hanya Pemuda Umno dapat taklimat khusus 5G, Pemuda Bersatu soal Annuar

Sepatutnya undangan berhubung taklimat itu diperluaskan kepada semua sayap pemuda parti lain sekiranya ikhlas memberi pencerahan.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (kiri) mengingatkan Annuar Musa bahawa semua parti perlu diberi penjelasan berhubung projek besar telekomunikasi itu.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan taklimat khusus dianjurkan Pemuda Umno berhubung pelaksanaan jaringan 5G oleh Digital Nasional Bhd.

Wan Fayhsal berkata, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa sepatutnya menyebarkan undangan itu kepada semua sayap pemuda parti lain juga.

‘Mengapa taklimat itu perlu dikhususkan?” katanya kepada FMT.

“Annuar sepatutnya mengundang sayap pemuda semua parti sekiranya beliau ikhlas memberi pencerahan kepada semua pihak”, katanya.

Awal hari ini, Annuar berkata, beliau sudah meminta kepada Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan DNB untuk menyediakan taklimat berhubung projek itu kepada wakil Pemuda Umno, pada Jumaat.

Beliau berkata, akan melanjutkan undangan kepada pemimpin Wanita Umno dan Puteri, sambil menyatakan adalah penting bagi pemimpin pemuda dan parti menerima penjelasan mengenai maklumat terbaharu berhubung pelancaran 5G.

Dalam pada itu, Ketua Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, berkata Annuar dan DNB sepatutnya memberi taklimat kepada Ahli Parlimen sekali lagi sebelum Parlimen bersidang semula, bulan depan.

Katanya, taklimat terakhir diterima Ahli Parlimen adalah pada Dis dan banyak sudah berlaku sejak itu. “Beberapa maklumat disampaikan secara terbuka mengenai 5G dan DNB tidak jelas dan berpotensi menimbulkan kebimbangan,” katanya.

Pemuda Umno menghantar memorandum, pada minggu lalu, kepada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin, yang antara lain menuntut siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaksanaan projek berkenaan.

Hari ini, Annuar berkata, beliau sudah menghantar salinan memorandum kepada Kementerian Kewangan memandangkan banyak perkara dibangkitkan berada dalam bidang kuasa kementerian itu.

Katanya, beberapa perkara dibangkitkan dalam memorandum berdasarkan maklumat tidak tepat dan lama.

DNB merupakan syarikat milik kerajaan yang dilantik melaksanakan infrastruktur dan jaringan 5G di seluruh negara. Selepas bantahan dibuat syarikat telekomunikasi, kerajaan bersetuju membenarkan pemilikan saham 70% dalam DNB. Mereka mempunyai sehingga 30 Jun untuk menerima tawaran berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.