
Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia Ahmed Razman Abdul Latiff berkata langkah itu boleh membantu mengurangkan bebanan kerajaan menanggung tambahan bantuan tunai kepada kumpulan memerlukan ketika ini.
“Kerajaan boleh tampung pemberian bantuan tunai bersasar tetapi komitmen akan jadi tinggi dan akan jadi sama dengan subsidi yang diberikan selama ini, jadi bantuan tunai tak boleh selesaikan masalah untuk tempoh lama.
“Kerajaan perlu ada sumber pendapatan hasil lebih tinggi. Lebih sesuai jika kenakan cukai keuntungan modal terhadap syarikat atau individu berpendapatan tinggi hasil daripada pasaran saham untuk tampung beban kerajaan,” katanya kepada FMT.
Malah, katanya, hasil cukai berkenaan juga boleh diperluaskan kepada kumpulan M40 yang turut memerlukan perhatian dan bantuan kerajaan ekoran tekanan kenaikan harga barang asas ketika ini.
“Golongan M40 akan resah dan marah kerana mereka tidak ada ruang dibantu terutama yang duduk di bandar, jadi kita mahu lihat langkah susulan.
“… di mana adanya ruang untuk kerajaan perluaskan bantuan tunai merangkumi lebih banyak golongan dari segi jurang pendapatan. Jika sebelum ini kerajaan hanya ambil kira pendapatan isi rumah RM4,000, apa kata perluaskan kepada pendapatan isi rumah RM6,000 ke bawah,” katanya.
Rabu lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tambahan jumlah bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bagi golongan B40, iaitu RM100 untuk isi rumah dan RM50 kepada golongan bujang.
Langkah itu susulan keputusan kerajaan menamatkan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol mulai 1 Julai.
Bagaimanapun, Ismail menjelaskan subsidi bagi minyak masak paket dikekalkan dengan harga jualan masih pada RM2.50/kg dengan peruntukan RM4 bilion pada 2022 membabitkan 600,000 tan sebulan, melebihi keperluan sebenar pengguna sebanyak 55,00 tan.
Mengulas perkembangan terbaharu itu, Razman berkata walaupun harga barang mentah dijangka meningkat dengan ketara selepas Julai ini, namun trend berkenaan dijangka bersifat sementara apabila pengeluar mula meningkatkan pengeluaran masing-masing selepas tiada lagi penetapan harga siling.
“Bila tiada harga siling, pengeluar akan mula tingkatkan pengeluaran dan harga ayam dijangka akan kembali stabil apabila bekalan akan dikeluarkan pada skala banyak,” katanya.