
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 48,850 kes atau 68% merupakan jenayah penipuan dalam talian dan bagi tempoh sama, sejumlah 26,213 kes yang dilapor telah didakwa di mahkamah.
“Angka yang besar ini perlu kita beri perhatian untuk memastikan ia dapat dikawal supaya orang awam tidak lagi terjebak atau terpedaya dengan jenayah dalam talian.
“Kempen perlu diadakan untuk mengemas kini pengetahuan mengenai modus operandi pihak ‘scammer’ dan memberi kesedaran khususnya kepada syarikat korporat, warga emas, penjawat awam serta pesara,” katanya.
Acryl Sani berkata, demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Anti Scam Polis Diraja Malaysia 2022 di sini hari ini.
Katanya, kes penipuan pembelian e-dagang mencatat peningkatan daripada 8,851 kes pada 2020 kepada 9,569 tahun lepas manakala setakat Mei tahun ini, sebanyak 3,833 kes direkodkan.
Berhubung penipuan membabitkan ‘Love Scam,’ Acryl Sani berkata, kes itu mencatat penurunan iaitu daripada 1,580 kes pada 2020 kepada 1,460 tahun lalu dan daripada Januari hingga Mei tahun ini, 361 kes.
“Bagi Macau Scam pula, sebanyak 2,254 kes direkodkan pada 2020 menyaksikan penurunan kepada 1,586 pada 2021 dan meningkat kepada 1,612 kes setakat Mei tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan internet secara meluas dalam kalangan masyarakat dan sektor ekonomi sejak pandemik Covid-19 menyebabkan ramai terdedah kepada sindiket penipuan itu.
Katanya, antara cabaran yang dihadapi polis untuk melakukan siasatan ialah apabila mangsa malu untuk tampil membuat laporan kerana tidak mahu masyarakat tahu mereka menjadi mangsa penipuan dan merasakan tidak berbaloi untuk membuat aduan.