Potong gaji menteri: Mustapa setuju, Mahdzir kata ada alternatif lain

Potong gaji menteri: Mustapa setuju, Mahdzir kata ada alternatif lain

Isu pemotongan gaji menteri sebanyak 20% disaran bekas menteri bertujuan membantu membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.

Mustapa Mohamed dan Mahdzir Khalid masing-masing ada pendapat tersendiri mengenai cadangan pemotongan gaji menteri.
PETALING JAYA:
Cadangan pemotongan gaji menteri sebanyak 20% yang diutarakan oleh bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz disambut baik salah seorang menteri kerajaan.

Mustapa Mohamed yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) menyatakan persetujuan mengenai pemotongan gaji menteri namun bergantung kepada majoriti yang mempersetujui.

“Saya bersetuju (cadangan pemotongan 20% gaji menteri) bagi membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.

“Kalau semua setuju, saya bersedia,” kata Ahli Parlimen Jeli seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau menambah, apa yang penting ialah keputusan itu perlu diselaraskan.

Pada Jumaat, Rafidah mencadangkan pemotongan gaji dan elaun menteri bagi menunjukkan empati terhadap negara ketika bergelut dengan krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan krisis Rusia-Ukraine.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid pula dalam kenyataannya menyifatkan pemotongan gaji menteri tidak akan membantu menyelesaikan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, ia memerlukan alternatif lain yang lebih efisien dan kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu rakyat dalam menghadapi krisis peningkatan harga barang sejak akhir-akhir ini.

Katanya, ada pelbagai usaha dibuat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pasukan dalam Kabinet khususnya bagi menteri yang terbabit secara langsung dengan ekonomi dan harga barang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.