Aplikasi telefon pintar pantau penipuan pembelian minyak masak subsidi

Aplikasi telefon pintar pantau penipuan pembelian minyak masak subsidi

Aplikasi telefon pintar bertujuan merekodkan pembelian barang kawalan dan mengawal ketat agihan barangan bersubsidi termasuk minyak masak kampit satu kilogram.

Alexander Nanta Linggi berkata, pendekatan ini juga bertujuan mengekang ketirisan berkaitan pembelian barangan itu secara borong. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan bercadang menggunakan aplikasi telefon pintar bagi mengawal ketat agihan barangan bersubsidi termasuk minyak masak kampit satu kilogram (kg) di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata, aplikasi telefon pintar bertujuan merekodkan pembelian barang kawalan, merupakan antara kaedah yang dicadangkan selain terdapat juga kaedah lain yang disyorkan.

Beliau berkata, pendekatan ini juga bertujuan mengekang ketirisan berkaitan pembelian barangan itu secara borong.

“Kerajaan masih meneliti kaedah terbaik dan beberapa syor yang telah disuarakan.

“Kita tetapkan dua paket (minyak masak kampit) untuk seorang, tapi ada pengguna selepas buat pembelian, mereka pergi ke kedai lain untuk membeli lagi. Kita sedar itu berlaku.

“Mungkin aplikasi itu boleh dipakai dan pengguna mahu membeli minyak masak kampit di kedai lain, aplikasi itu tidak akan benarkan. Ini bukan untuk minyak masak sahaja, tapi barangan subsidi yang lain,” katanya menurut laporan Bernama.

Pada masa sama, Nanta juga memberi amaran kepada pemain industri untuk tidak terbabit dalam aktiviti penyelewengan barangan bersubsidi dan tidak teragak-agak untuk menggantung permit syarikat sekiranya didapati bersalah.

Sementara itu, Nanta berkata, peranan KPDNHEP dalam penentuan harga siling ayam di pasaran, tertumpu kepada penguatkuasaan untuk memastikan peniaga mematuhi harga siling ditetapkan.

Katanya, sesi libat urus bersama penggiat industri ternakan ayam serta pegawai kanan kementeriannya dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), diadakan pagi tadi bagi membincangkan isu berkenaan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban.

Dalam pada itu, dalam kenyataan media hari ini, Nanta memaklumkan tiada sebarang aduan dan kesalahan mengenai kegiatan sorok barang kawalan dicatatkan di Sarawak, sepanjang pelaksanaan Kempen Anti Sorok 2022 dari Januari hingga 18 Jun lepas.

Beliau turut memberitahu bekalan minyak masak kampit di negeri itu mencukupi setakat ini dan kekurangan di beberapa premis adalah bersifat sementara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.