Laporan polis dibuat terhadap Guan Eng, Syed Saddiq kerana subjudis

Laporan polis dibuat terhadap Guan Eng, Syed Saddiq kerana subjudis

Ia susulan komen dibuat ketika kes mahkamah melibatkan kedua-dua pemimpin pembangkang itu masih dibicarakan.

Pengadu menggesa Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan terhadap Lim Guan Eng dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana menghina mahkamah.
PETALING JAYA:
Dua laporan polis telah dibuat terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara berasingan susulan komen dibuat mengenai kes mahkamah melibatkan dua pemimpin tersebut.

Kedua-dua laporan itu dibuat di balai polis Putrajaya, menurut sumber rapat.

Laporan pertama, yang dibuat terhadap Lim, adalah berdasarkan artikel di mana bekas menteri kewangan itu dipetik sebagai berkata, keterangan saksi dalam perbicaraan rasuahnya adalah semata-mata satu rekaan dan konspirasi politik.

Pengadu mendakwa, tindakan Lim adalah subjudis kerana perbicaraannya masih belum selesai.

Kata sumber itu, pengadu mahu Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan terhadap Lim kerana menghina mahkamah.

Lim dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk meminta komisyen 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion, dan menerima RM3.3 juta sogokan daripada seorang ahli perniagaan.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan menyalahgunakan tanah negeri bernilai RM208.7 juta secara tidak jujur kepada dua syarikat.

Laporan kedua dibuat terhadap Syed Saddiq dan peguam kepada bekas menteri belia dan sukan itu.

Ini selepas peguamnya dalam video YouTube mendakwa, pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Muar itu bermotifkan politik.

Syed Saddiq menghadapi empat pertuduhan pecah amanah jenayah, penyelewengan dana, dan pengubahan wang haram lebih RM1 juta milik Pemuda Bersatu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.