Kluster Influenza A dikesan di sekolah menengah berasrama di Petaling

Kluster Influenza A dikesan di sekolah menengah berasrama di Petaling

Ia selepas notifikasi 110 orang pelajar bergejala demam, batuk, selesema serta sakit tekak diterima dan kes pertama telah dikenal pasti bergejala sejak 14 Jun lepas.

Lima orang pelajar =disahkan positif Influenza A, manakala sebanyak 13 sampel lagi masih menunggu keputusan, menurut Pengarah Kesihatan Negeri Dr Sha’ari Ngadiman.
SHAH ALAM:
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan terdapat satu kejadian kluster Influenza-Like-Illness (ILI) melibatkan sebuah sekolah menengah berasrama di daerah Petaling dikesan pada Selasa lepas.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Sha’ari Ngadiman berkata, kluster tersebut dikesan apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling menerima notifikasi 110 orang pelajar bergejala demam, batuk, selesema serta sakit tekak dan kes pertama dikenal pasti bergejala sejak 14 Jun lepas.

“Sehingga semalam, jumlah keseluruhan kes mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak adalah 191 orang pelajar dengan kadar jangkitan 32.5%,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, lima orang pelajar disahkan positif Influenza A, manakala sebanyak 13 sampel lagi masih menunggu keputusan.

“Terdapat satu kes berada di hospital untuk pemantauan dan berada dalam keadaan stabil. Ujian Covid-19 yang dijalankan ke atas 30 orang pelajar bergejala mendapati kesemuanya negatif,” katanya.

Sha’ari berkata, hasil daripada penilaian risiko yang dijalankan oleh PKD Petaling serta perbincangan dengan pihak pengurusan sekolah, penutupan sementara asrama telah dijalankan bagi tujuan disinfeksi dan mengawal penularan jangkitan.

“Asrama terbabit akan dibuka semula selepas penilaian risiko ulangan dijalankan oleh PKD Petaling,” katanya.

Menurutnya, pemantauan dijalankan oleh JKN Selangor terhadap jangkitan ILI di negeri itu mendapati situasi masih terkawal, namun penularan jangkitan di institusi pendidikan, terutamanya sekolah berasrama menunjukkan sedikit peningkatan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

“Antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan tersebut adalah kurangnya penekanan kepada aktiviti ‘gate keeping’ di sekolah, pertambahan aktiviti dijalankan secara berkumpulan, sentuhan fizikal sesama pelajar dan kurangnya amalan kebersihan kendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai termasuk pentadbir institusi pendidikan dan pusat jagaan, sama ada kerajaan mahupun swasta agar sentiasa mengamalkan langkah kawalan kendiri bagi mencegah jangkitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.