
“Inflasi makanan terus meningkat ke paras baharu 5.2%, tertinggi sejak November 2011, dengan 93% item dalam kumpulan ini merekodkan kenaikan.” kata Ketua Perangkawan Uzir Mahidin.
Beliau berkata, subkumpulan daging mencatatkan peningkatan tertinggi 9.5% pada Mei 2022, berbanding April (6.2%) disebabkan oleh permintaan tinggi pada musim perayaan.
Ini diikuti kenaikan sayur-sayuran (8.1%); susu, keju dan telur (8%); ikan dan makanan laut (4.3%) dan minyak dan lemak (3.7%).
Ayam yang merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan daging (46.1%) meningkat sebanyak 13.4% berbanding 7.5% pada April, dengan purata harga ayam yang meningkat daripada RM8.44 kepada RM9.70 sekilogram pada Mei 2021.
Uzir turut menambah, kos makanan yang meningkat ditambah dengan peningkatan permintaan antara punca kenaikan harga ayam kali ini.
Beliau berkata, lonjakan harga sayur-sayuran di pasaran ketika ini pula berpunca daripada peningkatan harga baja, kos logistik, kekurangan tenaga buruh dan keadaan cuaca.
Sementara itu katanya, harga ikan yang paling murah dan menjadi pilihan pengguna turut meningkat, antaranya ikan pelaling meningkat kepada RM14.04, ikan keli RM10.05 dan ikan kembong RM16.65 sekilogram.
Mengulas laporan berkenaan, Uzir menjelaskan bahawa makanan di rumah dan makanan di luar rumah masing-masing meningkat ketara sebanyak 5.5% dan 5.1%, yang mendorong kepada kenaikan inflasi makanan pada Mei.
Beliau berkata, kenaikan ketara bagi makanan di luar rumah dapat dilihat bagi nasi berlauk (8.3%), roti canai (7.8%), makanan berasaskan mi (5.7%) dan masakan ayam (5.1%).
Pada Mei 2022, Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 0.6% berbanding April 2022. Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh peningkatan pengangkutan (1.1%) diikuti oleh makanan dan minuman bukan alkohol (0.9%) dan restoran dan hotel (0.6%).
Mengulas tentang inflasi makanan dan minuman bukan alkohol di peringkat negeri pula, Uzir berkata peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (6.7%) diikuti oleh Johor (6.0%), Pulau Pinang (5.8%) dan Perak (5.2%).
Katanya, peningkatan dalam kumpulan pengangkutan pula disebabkan terutama oleh peningkatan purata harga RON97 sebanyak 63.8% (RM4.26 seliter) berbanding RM2.60 pada bulan sama tahun sebelumnya.
Namun harga subsidi yang dilaksanakan bagi RON95 dan diesel telah mengimbangi kenaikan inflasi kumpulan ini, tambahnya.