
Pengarah Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata, ini kerana Lim bimbang Zarul mungkin “dipantau” oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Zarul berkata, beliau mencadangkan rakan perniagaan, G Gnanaraja, untuk bertindak sebagai orang perantara kerana hubungan rapatnya dengan perdana menteri ketika itu Najib Razak. Beliau berkata, Gnanaraja juga merupakan rakan kepada bekas menteri Nazri Aziz.
“Ini (penglibatan Gnanaraja) juga boleh membantu saya membina hubungan rapat dengan PM supaya Barisan Nasional tidak ‘mengganggu’ projek terowong dasar laut.
“Guan Eng pun setuju. Susulan itu, saya berhubung dengan Gnanaraja dan memberitahu mengenai hasrat untuk menggunakan beliau sebagai perantara untuk membuat bayaran kepada Guan Eng,” katanya.
Zarul berkata, dia menghubungi Gnanaraja beberapa kali antara Mei dan Ogos 2017 untuk memaklumkan bahawa dia memerlukan bantuannya untuk menghantar wang kepada Lim.
“Saya menghubungi Gnanaraja untuk berjumpa dan berbincang mengenai penyediaan sebuah syarikat ‘special purpose vehicle’ (SPV).
“Saya memaklumkan kepadanya, saya memerlukan perantara untuk membayar wang rasuah kepada Guan Eng. Ini kerana pada masa itu, saya sudah takut untuk memegang dan menyimpan banyak wang tunai kerana dalam perhatian SPRM. Saya juga turut dikecam dan ditohmah oleh beberapa pihak lain,” katanya.
“Saya bercakap dengan Gnanaraja mengenai permintaan YB Lim supaya saya tidak menyimpan terlalu banyak wang tunai,” katanya, selain menambah bahawa dia mempercayai Gnanaraja.
Lim dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk meminta Zarul komisyen 10% daripada keuntungan daripada projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion dan menerima RM3.3 juta sogokan daripada ahli perniagaan itu.
Dia juga didakwa atas dua pertuduhan menyalahgunakan tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta secara tidak jujur kepada dua syarikat.
Zarul juga berkata, Lim meminta RM2 juta daripadanya pada Ogos 2017 kerana beliau menjangkakan pilihan raya umum ke-14 akan diadakan “dalam masa terdekat”.
Beliau berkata, wang itu dihantar melalui Gnanaraja.
“Saya meminta kakitangan saya (Azli Adam) menyediakan wang RM2 juta itu dan Azli kemudian menyerahkan dua beg sandang yang mengandungi RM1 juta setiap satu kepada saya.
“Pemandu saya membawa saya ke Hotel Eastin di mana saya bertemu Gnanaraja dan menyerahkan dua beg.”
Zarul berkata, dia ingin memperkenalkan Gnanaraja kepada Lim pada malam 20 Ogos 2017. Beliau berkata, dia menjemput Gnanaraja dan membawanya berjumpa Lim di Hotel Wenworth.
“Gnanaraja membawa satu beg yang saya berikan kepadanya. YB Lim menyambut kedatangan kami. Saya berada di tempat duduk pemandu manakala Gnanaraja berada di tempat duduk belakang.
“Kami memandu ke Publika dari hotel. Mereka (Lim dan Gnanaraja) mengambil swafoto di tempat duduk belakang.
“Saya pasti dia (Lim) membawa beg berisi RM1 juta bersamanya kerana dia berterima kasih dan menepuk bahu saya ketika dia pergi,” kata Zarul.
Beliau berkata, baki RM1 juta telah diserahkan kepada Lim pada awal pagi, 28 Ogos 2017 di rumah Gnanaraja di Seksyen 5, Petaling Jaya.
“Kami pergi ke rumah Gnanaraja dan bertemu keluarganya pada hari itu. Mereka (ahli keluarga Gnanaraja) gembira menerima YB Lim sebagai tetamu mereka,” katanya.
Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan daripada isteri Gnanaraja, pelakon K Geethanjali, yang berkata, Lim dan Zarul melawat mereka pada lewat malam.
Dia berkata, Gnanaraja memintanya kembali ke bilik tidurnya selepas keluarga itu mengambil gambar dengan Lim kerana dia, Lim dan Zarul perlu membincangkan beberapa “perkara sulit”.
Selepas prosiding hari ini, peguam Lim, Gobind Singh Deo, memberitahu pemberita bahawa pihak pembelaan akan memulakan pemeriksaan balas untuk mencabar keterangan Zarul Isnin depan, apabila perbicaraan diteruskan di hadapan hakim Azura Alwi.