
Ketua Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, selain itu dakwaan kononnya Bersatu bahagian Kangar lumpuh juga tidak benar.
“Bersatu bahagian Kangar masih dipertahankan. Dakwaan 1,000 ahli keluar parti adalah propaganda.
“Saya belum terima satu surat rasmi mengatakan individu itu letak jawatan. Sekadar umum tetapi tidak sampai sebarang surat yang mengatakan mereka isytihar keluar parti,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke MyFarm Village di Kuala Perlis.
Beliau mengulas dakwaan bahawa Bersatu bahagian Kangar lumpuh selepas hampir semua ahli jawatankuasa serta ketua di lapan cawangannya meletak jawatan, seterusnya mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Dalam pada itu, Abu Bakar yakin 3,000 ahli Bersatu Perlis yang ada masih setia dan semua 36 cawangan parti itu masih aktif.
Katanya, tidak mustahil Perikatan Nasional (PN) akan menerajui kerajaan Perlis pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Dengan bantuan PAS dan (parti komponen) PN (boleh tawan Perlis). Apa yang penting ahli Bersatu sedar ini parti baharu dan yakin mempunyai jentera yang mampu memberi kejutan pada PRU15,” katanya.
Abu Bakar berkata, buat masa ini di Perlis, PAS memiliki dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya memerlukan tambahan enam kerusi lagi untuk menguasai Perlis.
“Kalau ada lapan kerusi boleh kuasai kerajaan negeri,” katanya.