Polis lengkap siasatan menyeluruh kes kematian Baby Syifaa

Polis lengkap siasatan menyeluruh kes kematian Baby Syifaa

Siasatan merangkumi sudut keterangan saksi mahu pun teknikal dengan penggunaan kaedah forensik serta khidmat pakar patologi dan kimia.

Polis berkata kertas siasatan kes kematian Baby Syifaa telah dirujuk kepada ketua unit pendakwaan Negeri Sembilan sehingga ke pihak peguam negara.
(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis sudah melengkapkan siasatan menyeluruh berhubung kes kematian bayi perempuan berusia 15 bulan, Nour Rania Asyifaa Yuseri atau ‘Baby Syifaa’ ketika di bawah jagaan pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan, Seremban, pada Feb.

Ketua Polis Negeri Sembilan Ruslan Khalid berkata, siasatan merangkumi sudut keterangan saksi mahupun teknikal dengan penggunaan kaedah forensik serta khidmat pakar patologi dan kimia.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada ketua unit pendakwaan Negeri Sembilan sehingga ke pihak peguam negara.

“Kes disiasat bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001. Arahan telah diberi oleh pihak peguam negara supaya inkues diadakan untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Katanya, kes untuk pendengaran inkues ditetapkan pada 29 Jun.

Awal hari ini, dilaporkan isteri Pemangku Raja Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam menggesa kerajaan menyiasat semula kes kematian Baby Syifaa.

Khaleeda menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya, memaklumkan pendapat mengatakan kecederaan bayi itu berpunca akibat terjerut tali buaian adalah tidak masuk akal.

“Bagi saya tidak masuk akal Baby Syifaa terjerut buai dengan ada kesan luka di kakinya seperti dia diheret,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.